"Selepas menunda beberapa kali temujanji dengan doktor sebelum ini berikutan kes Covid-19 yang tinggi, saya datang membuat pemeriksaan susulan di hospital minggu lalu. Pemeriksaan doktor mendapati jantung saya di bahagian atas bergerak terlalu laju dan tidak stabil.
"Jadi, saya perlu dimasukkan ke CCU untuk pemantauan sepenuhnya sehingga stabil semula," demikian jelas penulis lirik dan pelakon, Bob Lokman, 57, yang kini menerima rawatan lanjut di Unit Penjagaan Koronari (CCU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, sejak empat hari lalu.
Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman berkata, dia dimasukkan ke CCU hospital berkenaan berikutan jantungnya di bahagian atas bergerak terlalu laju dan tidak stabil.
Penulis lirik lagu 'Isabella' ini juga memohon orang ramai mendoakan kesihatannya agar sembuh semula dan dibenarkan pulang ke rumah segera kerana isteri dan anak-anaknya menetap di Kota Bharu, Kelantan.
"Mohon doakan kesihatan saya sembuh semula. Saya minta maaf dan nak ucapkan terima kasih kepada anda semua yang mendoakan saya. Hanya Allah saja mampu membalas.
"Saya sepatutnya sudah dimasukkan ke CCU di hospital ini enam minggu lebih awal, tetapi disebabkan penularan Covid-19 maka ia ditunda dan sekarang tak boleh lagi kerana pergerakan jantung saya terlalu laju," katanya.
Terdahulu, Bob berkata, dia juga akur keadaan kesihatannya sudah tidak sepenuhnya pulih seperti dulu kerana ada masa dia sihat dan kadangkala sakit. Katanya, soal sakit nak datang memang tak boleh dijangka.
Kalau kurang sihat pun, biasanya dia akan mengalami masalah pernafasan kerana sesak nafas disebabkan air berlebihan dalam paru-paru dan dia kena tahan minum air tetapi perlu buang air kecil dengan kerap.
Bob yang sebelum ini mengalami masalah jantung itu selamat menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung iaitu Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) di hospital yang sama pada awal Disember tahun lalu.
________________________
No comments:
Post a Comment