"Kita tak nak ia berlaku. Search hanya ada satu, tiada dua atau tiga. Search adalah kumpulan yang terpimpin bukan dipimpin. Ia adalah kumpulan yang paling senior dalam 'rock scene' di Malaysia. Kita tak boleh biarkan Search diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak terutama pihak ketiga dari luar yang cuba buat sesuatu perkara yang tidak dapat persetujuan kami secara rasmi.
"Kita sekarang bekerja dengan pengasas Search. Orang yang meletak batu asas Search, orang yang memilih nama Search," itulah kata pemain bass Search, Nasir Daud, 61, yang mengakui tidak dibenarkan untuk membuat apa-apa kenyataan berkenaan kumpulan terbabit.
Ia berikutan tular gambarnya bersama Amy, Hillary dan Man Kidal yang kembali bergabung membentuk Search menerusi media sosial semalam. Nasir yang dihubungi, bagaimanapun menjelaskan, apa yang dilakukan mereka adalah untuk memelihara legasi Search dan nama Search daripada terus dirosakkan oleh mana-mana pihak.
Nasir berkata, ini adalah hakikat yang selama ini ramai yang kabur dengan asal usul Search. Menurut Nasir, Search mencari kesudahan bermaruah yang penuh dihormati oleh semua bukan dengan drama sebagainya.
"Hillary ialah orangnya yang meletakkan batu asas Search bersama Zainal Rampa. Kemudian disertai oleh saya dan Amy. Kehadiran Man Kidal pula sangat bernilai kerana dia pernah bersama Search di Red Rooster Hard Rock Cafe, Taman Tun Dr Ismail dan juga album pertama iaitu Cinta Buatan Malaysia.
"Jadi, Man bukan asing bagi Search. Selepas kami berfikir secara masak dan matang, inilah pakej terbaik yang kita ada demi legasi Search, demi peminat dan pengikut Search yang setia selama ini. Kebanyakan mereka tak mahu kumpulan ini rosak ataupun berkesudahan dengan sesuatu yang menyedihkan.
"Itu bukan penamat yang baik. Kita boleh bermula dengan pelbagai ranjau dan duri termasuklah dalam institusi keluarga, pekerjaan dan mana-mana sahaja sepanjang hidup kita. Permulaan dan perjalanan ini akan menempuh pelbagai cerita. Itu juga yang Search lalui.
"Tapi apa yang penting ialah pengakhiran. Untuk 'line up' ini kita tak nampak ada kecacatan kerana ini adalah anggota asal Search termasuklah Hillary yang memilih nama ini. Tapi apa yang saya percaya dan sahih adalah Hillary memilih nama dari satu majalah dokumentari yang dibaca iaitu InSearchOf.
Dia buang In dan Of maka terhasillah Search. Kumpulan ini kekal sehingga kini dan Hillary berkesempatan buat tiga album dengan kami. Selepas ini kami ada perancangan baru untuk Search. Kami akan turunkan semua pengalaman dalam satu karya tak lama lagi," ujarnya.
________________________
No comments:
Post a Comment