01 October 2021

PERKAHWINAN BAWA 'PERTEMUAN' ZIZI KIRANA DENGAN BAPA SELEPAS 33 TAHUN



Pada 19 September lalu, penyanyi Zizi Kirana, 36, telah selamat disatukan dengan pasangannya, pelakon Yusuf Bahrin, 29, dengan sekali lafaz kira-kira pukul 10.40 pagi di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Untuk makluman, majlis ringkas itu cuma dihadiri ahli keluarga secara terdekat. Pasangan terbabit memaklumkan mereka terpaksa membuat persiapan kurang seminggu sebaik mendapat tarikh nikah.

Antara peristiwa manis berlaku sewaktu perkahwinan baru-baru ini, Zizi mendedahkan dia dapat menjejak semula bapa kandungnya selepas terputus hubungan selama 33 tahun.

Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil berkata, dia sangat bersyukur apabila urusan perkahwinannya dipermudahkan selepas berjaya menjejaki bapanya.

Klik untuk gambar besar



"Ibu bapa bercerai ketika saya baru berusia tiga tahun, selepas itu kami tidak bertemu lagi. Sewaktu urusan perkahwinan, saya berusaha mencari wali termasuk mengiklankan mengenai bapa menerusi akhbar.

"Saya turut melakukan carian di Instagram dan terjumpa nama adik-beradik lain. Apabila dimaklumkan kepada ibu, dia terlebih dulu menghubungi bapa untuk menyatakan hasrat kami. Alhamdulillah, urusan saya dipermudahkan Allah," katanya.

Penyanyi lagu 'Eh' itu sangat gembira apabila akhirnya dapat bercakap dengan bapanya: "Selepas itu barulah saya dapat bercakap dengan bapa. Walaupun hanya berhubung melalui panggilan telefon, namun bapa memberikan kerjasama sangat baik. Semua dokumen penting untuk pernikahan saya dan suami dibuat menerusi penghantaran kurier," jelasnya.

Zizi berkongsi mengenai perkara itu dalam temubual menerusi Instagram Live anjuran Nurflixtv berjudul Rahsia Dia: Jodoh dan Ketentuan, Ahad lalu. Temubual itu dihoskan oleh Diana Amir dan panel adalah Zizi, Faralyna Idris dan Ustazah Asni.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: