29 October 2021

RAMAI TAWAR DIRI JADI CALON MADU - EZLYNN TERUJA & TERKEJUT



Penyanyi Ezlynn, 39, yang sebelum ini menyuarakan hasrat melengkapkan empat isteri untuk suami tercinta, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45, itu meluahkan rasa teruja dan dalam masa sama terkejut apabila niat baiknya meraih maklum balas positif daripada ramai wanita lain yang sudi berkongsi kasihnya.

Katanya, hasrat berpoligami yang sudah tersemat sebelum bertemu jodoh dengan teman hidupnya kini yang merupakan penderma hati pertama negara itu sudah disuarakan selepas beberapa hari mereka mendirikan rumah tangga.

"Sebenarnya suami terkejut ketika saya luahkan hajat meminta dia melengkapkan poligami kepada empat isteri yang dibolehkan dalam Islam kerana saya yakin dia mampu menggalas tanggungjawab tersebut pada masa akan datang. Kemudian saya kongsikan pencarian misi empat madu itu di dalam laman sosial namun dengan persetujuannya dulu memandangkan perkara sebegini tetap bergantung kepada keputusannya.

Klik untuk gambar besar



"Bagi saya, suami adalah milik Allah dan kebahagiaan suami penting adalah segala-galanya selain saya hanya mahu mencari saham akhirat dengan reda serta syafaat Rasulullah. Selain berjumpa sendiri beberapa calon, menerusi hebahan di laman sosial saya terkejut apabila ada ramai lagi wanita yang sedia hidup bermadu," katanya yang kini bergelar isteri kedua.

Menurut penyanyi 'Hi Hi Bye Bye' itu, setakat ini sekitar lima orang wanita ada menghubungi dan menyatakan kesediaan untuk hidup bermadu dengannya. Sementara itu, Ezlynn yang menegaskan tidak pernah merahsiakan statusnya hidup bermadu ini mengakui kehidupan bersama suami tercinta terus disulami bahagia.

Lebih selesa tidak menyentuh pihak lain, katanya pada tahap dia hanya mencari reda Allah selain mendapat restu suami untuk melayari kehidupan dan kerjaya seni dengan lebih berkat. Terdahulu, Ezlynn atau nama penuhnya Ezlynn Ariffin mengumumkan bernikah dengan Wan Mohd Hafizam pada awal September.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: