01 October 2021

RENGGO ARROW SAHKAN SUDAH BERNIKAH KALI KETIGA, HARAP KEKAL



"Sepanjang perkenalan, tiba-tiba hati saya terdetik mungkin ini jodoh saya. Ada juga saya mengusik dia, kalau setuju nak nikah datanglah Kelantan," demikian kongsi penyanyi Renggo Arrow, 52, yang turut berkata dia tidak menyangka pasangannya, Hairoliza Hanafi, 44, betul-betul datang dan serius mahu berkahwin dengannya.

"Selepas itu, saya uruskan segala-galanya urusan perkahwinan dan kini kami sudah selamat bergelar suami isteri," jelasnya yang mengesahkan sudah berkahwin buat kali ketiga selepas melangsungkan pernikahan dengan Hairoliza pada 22 September lalu di Masjid Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh, Kelantan.

Tambah Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zain Ramli, dia mengenali Hairoliza yang berasal dari Kuching, Sarawak selama beberapa bulan sebelum mengambil keputusan berkahwin.

"Kami hanya kenal melalui alam maya saja sebelum ini. Hairoliza yang juga peminat kumpulan Arrow sering bertanya khabar kesihatan saya yang kerap keluar masuk hospital kerana masalah jantung bengkak dan berair pada 1 April lalu.

"Dia juga banyak beri sokongan moral sepanjang menghadapi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu. Kami rajin bertukar-tukar pendapat. Selepas lima bulan berkenalan, kami terus ke fasa seterusnya di mana dalam masa sebulan itu saya cuba mengenali hati budinya lagi.

Renggo sebelum ini pernah berkahwin dengan wanita Thailand dan dikurniakan dua anak, manakala perkahwinan keduanya dikurniakan lima anak. Bagi Hairoliza pula, dia belum pernah mendirikan rumah tangga disebabkan komitmen bekerja.

Dalam pada itu, Renggo yang kini menguruskan kedai makan dan kini menetap di Kampung Sungai Petai, Pasir Puteh itu memberitahu dia tertarik dengan Hairoliza kerana mempunyai ciri-ciri yang diinginkan pada seorang wanita.

"Saya yakin dia jujur dan merendah diri orangnya. Saya memang suka dengan wanita sebegini. Isteri saya seorang yang kelakar dan ada nakalnya. Saya memang impikan isteri yang menghiburkan, bukannya yang senyap atau pendiam serta membosankan," ujarnya.

Hairoliza pula mengakui dirinya peminat Arrow dan Renggo sejak sekian lama serta sudah lama cuba menjejaki Renggo di Facebook: "Mungkin sudah jodoh, akhirnya saya berjaya menjejaki Facebook Renggo tahun ini," katanya yang bekerja di Perbadanan Pembangunan Perumahan di Kuching.

Renggo yang pernah menyertai Kilauan Emas 4 pada 2014 dan mendapat tempat kedua pernah mengenali beberapa wanita lain, namun tiada jodoh untuk berkahwin. Dia yang mendapat restu anak-anak berharap perkahwinan ini adalah kali terakhir buat dirinya dan kekal hingga ke akhir hayatnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: