12 October 2021

"SAYA MINTA ORANG PECAHKAN TINGKAP" - FARA HEZEL CEMAS ANAK TERPERANGKAP DALAM KERETA



"Semasa kejadian hanya saya dan Aisy sahaja... kami dah nak balik rumah, saya letak Aisy di kerusi hadapan penumpang kemudian tutup pintu untuk bergerak ke bahagian pemandu. Bila nak buka pintu pemandu tiba-tiba tengok dah terkunci dari dalam... kunci kereta pula tak ada dekat tangan saya sebab beg awal-awal lagi dah masukkan dalam kereta.

"Saya terus hilang arah, tak tahu nak buat macam mana, kereta pun belum start lagi risau kalau Aisy lemas dekat dalam... saya tak fikir panjang terus minta tolong orang sekeliling, saya pinjam telefon untuk hubungi suami dan minta mereka bantu bukakan pintu. Selepas hubungi suami, dia terus bergerak datang ke kami, lokasi taman rekreasi tu tak jauh pun dari rumah...

"Sementara dia dalam perjalanan itu saya minta tolong beberapa orang di situ untuk pecahkan tingkap. Beberapa kali cubaan nak pecahkan tingkap menggunakan batu tapi tak boleh. Datang seorang abang ni bawa besi dan akhirnya pecah juga tingkap kecil di bahagian belakang. Syukur Alhamdulillah... tak kisahlah tingkap kereta rosak asalkan pintu boleh dibuka.

"Semasa itu saya memang kalut, minta tolong semua orang yang ada di situ, tak boleh nak fikir apa dah... risau kalau Aisy menangis tapi syukur dia diam sahaja dan masih boleh ketawa tengok saya dari dalam," jelas penyanyi Fara Hezel yang berdepan detik mencemaskan apabila anak sulungnya iaitu Tengku Muhammad Aisy Al-Abidin Petra terperangkap dalam kereta yang terkunci selepas beriadah di sebuah kawasan rekreasi di Terengganu pada petang Selasa.

Klik untuk gambar besar



Fara atau nama sebenar Nurfaraazira Yusri, 25, berkata dia menjadikan insiden itu sebagai pengajaran untuk dia lebih berhati-hati ketika berada di luar rumah. Malah, penyanyi lagu 'Setiaku Pasti' ini turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantunya menyelesaikan masalah itu.

"Sebelum ni tak pernah pun berlaku kejadian terkunci dalam kereta, walaupun benda tak jangka nak berlaku tapi selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan pastikan kunci sentiasa berada bersama. Sampai sekarang saya masih terbayangkan insiden itu, cemas tu tak boleh nak cakap. Betul-betul jadi pengajaran. Nasihat saya untuk ibu bapa yang lain, kena sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling.

"Apa-apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada kakak-kakak dan abang-abang yang membantu semalam. Kalau mereka tak tolong tak tahu la macam mana," katanya yang kini menetap di kampung halaman suami, Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin di Kuala Terengganu selepas mendirikan rumah tangga pada 20 Disember 2019 dan dikurniakan cahaya mata pertama pada Oktober tahun lalu.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: