07 October 2021

TAK PERNAH MINTA SUMBANGAN - ELYANA TERHARU USAHA MURNI PELBAGAI PIHAK



"Jujur saya terharu dan tidak tahu nak kata apa. Ramai mesej (DM) saya dalam Instagram nak hulur bantuan selepas berita mengenai kos ubat yang perlu saya tanggung disiarkan. Saya pada awalnya memang tak pernah terfikir atau terlintas apatah lagi mahu meminta belas ihsan daripada orang lain.

"Tapi malam tadi saya dihubungi bekas pengurus syarikat rakaman sebelum ini, Sam Samin yang meminta kebenaran untuk saya untuk mereka siarkan nombor akaun bank bagi mengumpul dana meringankan beban kos perubatan," jelas penyanyi Elyana yang terharu dan berbesar hati atas usaha murni pelbagai pihak dalam menyalurkan sumbangan bagi menampung kos perubatan kanser limfoma yang dihidapinya.

Elyana ketika dihubungi berkata, sejujurnya dia segan dan tidak pernah terlintas untuk meminta bantuan daripada orang ramai atas penderitaan yang dialami selama ini. Tambah pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu itu lagi, selama bertahun-tahun kebelakangan ini pun dia tidak pernah meminta-minta bantuan daripada orang luar dan menanggungnya sendiri selagi mana yang termampu.

Ditanya mengenai persediaannya menjalani sesi kemoterapi kedua Jumaat nanti, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal memberitahu dia tetap akan melakukan rawatan susulan tersebut seperti biasa.

Klik untuk gambar besar



"Kalau ikutkan, Jumaat ini saya dah kena mula ambil ubat khas berupa antibodi berharga RM50,000 itu. Doktor sarankan kena ambil lima kali ikut jadual ditetapkan. Jujur buat masa sekarang, saya memang tidak ada sumber kewangan sebanyak itu. Jika dana yang dikumpul dan disumbangkan orang ramai itu mencukupi, saya terus akan dapat ubat tersebut.

"Sebaliknya jika kewangan masih tidak menginzikan, saya tetap akan menjalani rawatan kemoterapi seperti biasa dan terpaksa menangguh dulu hasrat untuk mengambil ubat khas tersebut," katanya lagi.

Dedah pelakon drama 'Dunia Baru' itu lagi, sebenarnya sebelum lakukan rawatan kemoterapi sesi pertama lagi doktor sudah mencadangkan untuk dia menggunakan ubat khas tersebut.


"Doktor beritahu saya, ubat khas itu berfungsi untuk ketahahanan antibodi hingga 98 peratus dan peluang untuk sembuh daripada kanser amat cerah. Ada orang jenis kemoterapi berbeza-beza, macam saya doktor sarankan dan sesuai untuk guna ubat tersebut. Insya-Allah peluang untuk sembuh tu ada," ujarnya yang turut memberitahu akan ada kesan sampingan selepas mengambil ubat tersebut nanti.

Semalam, Elyana meluahkan kerisauan dan kebuntuannya mengenai kos sesi kedua rawatan kemoterapi yang menelan belanja hingga RM250,000 bagi keseluruhan lima sesi yang akan dimulakan Jumaat ini.

Terdahulu, Elyana membuat pendedahan tentang penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya ketika siaran langsung konsert Gegar Vaganza musim keempat pada 2017.

Kanser tersebut turut menyerang dan merebak ke beberapa organ badannya seperti rahim, hati dan pangkal paha. Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh salurkan ke akaun bank Maybank milik Elyana 114254214344.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: