"Memang pihak dia (Rafiena) ada alternatif lain seperti memakai rambut palsu tapi saya tetap dengan keputusan nak bertudung. Sampaikan saya berjumpa dengan mufti Wilayah Persekutuan untuk bertanyakan pendapat dan mufti pun kata haram untuk pakai rambut palsu walaupun atas urusan kerja.
"Saya tidak pernah cakap tak nak berlakon atau teruskan penggambaran. Dari awal saya cakap nak buat sebab suka dengan watak dan cerita ini. Cuma perlu kena dengan penampilan saya yang sudah bertudung. Saya setuju ambil tawaran ini pun sebab ia dijangka habis sebelum Ramadan.
"Mengikut jadual asal yang sudah disusun pengarah pertama iaitu Datuk Seri Eizlan Yusof, penggambaran membabitkan watak saya habis dua hari sebelum Ramadan. Ketika itu saya memang masih belum bertudung. Namun, ketika masuk lokasi pengarah bertukar. Saya okay saja. Pada awalnya mereka ikut jadual yang sudah dibuat, tapi beberapa hari selepas itu, semuanya bertukar. Malah ada yang bertambah. Saya okay dan ikut saja. Tapi masih tak boleh habiskan bahagian saya sehinggalah penggambaran tertunda.
"Kemudian, saya dimaklumkan oleh pengurus mereka nak sambung penggambaran semula. Dalam masa sama pihak mereka tahu saya sudah pakai tudung. Dia (Rafiena) cakap risau juga tengok Instagram apabila saya sudah pakai tudung. Jadi, kami adakan mesyuarat secara dalam talian. Dia harap dapat selesaikan dan saya ingat ia diteruskan dengan penampilan saya ini.
Klik untuk gambar besar
"Saya pula tidak mahu buka tudung dan mahu mereka sesuaikan watak itu dengan penampilan bertudung ini. Apa saya harapkan ketika itu semoga dia juga sama-sama faham situasi saya," itulah jawab penyanyi Zizi Kirana yang menepis dakwaan penerbit Datuk Rafiena yang mengatakan dirinya banyak kerenah bagi meneruskan penggambaran drama 'Jamu Nesan'.
Susulan itu, Zizi yang turut didakwa melanggar kontrak, digugurkan daripada meneruskan watak Madam Zoora dan digantikan dengan penyanyi Didi Astillah. Zizi, 36, berkata, dia tegas dengan pendirian tidak akan membuka tudung atau memakai rambut palsu semata-mata bagi melakonkan watak ketua mafia itu. Menurut Zizi, apa yang berlaku dianggap dugaan buatnya.
"Saya sedar apabila sudah pakai tudung memang akan berikan masalah dalam projek ini. Tapi takkan sebab itu saya nak kena ubah prinsip saya dengan buka tudung. Justeru itu saya mohon pemahaman. Lagi pula dia juga penulis skrip drama itu, jadi mungkin boleh tukar sedikit mengikut keadaan semasa. Malah, perkara sama juga dikatakan oleh mufti.
"Diakui apa yang berlaku ini buatkan saya sedih. Satu malam saya berfikir mengenai masalah ini. Apa pun, saya anggap ini dugaan. Tidak mengapalah jika itu tanggapan diberikan pada saya. Saya tak berdendam pun," kata isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu.
________________________
No comments:
Post a Comment