22 October 2021

TERBABIT KEMALANGAN DI LOKASI 'PANAS' - YAMANI TRAUMA PANDU WAKTU MALAM



"Saya dari Ipoh nak balik ke Shah Alam... dalam pukul 12.20 pagi sebelum tol keluar Sungai Buloh tiba-tiba tayar kereta saya hilang imbangan dan tak boleh dikawal. Saya tengok dari belakang ada lori, saya cuba elak. Saya kawal stereng dan kereta berpusing tiga kali... selepas tu berhenti sepenuhnya di tepi jalan. Semasa itu saya fikir dah nak mati, kemungkinan saya dah tak ada hari ini.

"Alhamdulillah umur saya masih panjang. Saya dimaklumkan tempat itu memang selalu berlaku kemalangan, ada orang di situ beritahu ada kemalangan sama dan mangsa meninggal di tempat kejadian pada petang semalam," demikianlah kata penyanyi Yamani Abdillah yang bercerita dia berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan dipandunya terbabit kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada pagi Khamis.

Bagai telur di hujung tanduk... Yamani, 20, berkata, kereta yang dipandunya dalam perjalanan pulang dari Ipoh, Perak tiba-tiba hilang kawalan berhampiran tol keluar Sungai Buloh.

Dalam pada itu, anak kepada penyanyi Datuk Jamal Abdillah ini memaklumkan dia bersama seorang lagi penumpang yang juga merupakan saudaranya tidak mengalami kecederaan parah. Bagaimanapun, kenderaan pacuan empat roda miliknya itu mengalami kerosakan teruk.

Klik untuk gambar besar



"Alhamdulillah kami berdua baik-baik sahaja, cuma saya ada rasa sakit sikit di bahagian belakang badan, mungkin kesan hentakan semalam. Sepatutnya saya ada urusan kerja pada hari itu tapi terpaksa tunda kerana perlu dapatkan rehat selepas insiden itu," ujarnya.

Sementara itu, penyanyi lagu 'Takut Kehilangan' ini mengakui trauma untuk memandu pada waktu malam. Dalam masa sama, dia turut meluahkan syukur kerana masih dipanjangkan usia dan selamat daripada insiden berkenaan.

"Sekarang ni saya dah trauma nak memandu jauh pada waktu malam. Itu kali terakhir saya pandu kereta waktu malam. Ini juga mungkin ujian dan pengajaran buat diri saya. Apa-apa pun Alhamdulillah masih diberi peluang meneruskan hidup. Saya fikir yang baik, pasti ada hikmah atas apa yang berlaku," tambahnya lagi.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: