23 November 2021

"BADAN NAIK LA PKP NI..." - JIHAN MUSE NAFI HAMIL ANAK KEDUA, MOHON DOA



"Saya nak sangat, doakan saya mengandung. Memang saya nak tapi disebabkan rupa saya sekarang macam mengandung, nak buat macam mana... badan naik la PKP ni. Eh salahkan PKP pula ya. Tapi, jujurnya saya memang nak doa-doa kalian semua sebab memang nak mengandung lagi.

"Kalau betullah saya sekarang ini mengandung, sudah tentulah saya orang pertama yang akan mencanang. Tapi belum lagilah... doakan saya ya!" itulah jawab Jihan Muse selepas timbul desas-desus dirinya mengandung lagi selepas tampil mengacara di pentas pembukaan Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) semalam.

Spekulasi ini timbul disebabkan badan Jihan atau nama sebenar Nuur Jihan Musa, 38, yang sedikit berisi seolah sedang hamil anak keduanya. Bagaimanapun, isteri kepada pelakon Ungku Hariz Faizal itu menafikan dakwaan tersebut.

Klik untuk gambar besar



Menurut Jihan lagi, secara peribadi, dia sememangnya berkeinginan untuk hamil lagi dek memikirkan usianya yang bakal menerjah ke angka 40, dua tahun lagi. Selain itu, ditanya sama ada dia bersetuju busana yang digayakan pada program siaran langsung tersebut menjadi punca dakwaan hamil itu muncul, Jihan juga menafikannya.

"Tak akanlah nak salahkan baju atau pereka fesyen. Kita cuba gayakan sesuatu baju itu, tetapi adakala ternyata kita tak boleh bawa. Pada patung atau gambar, nampak cantik. Jadi, jangan salahkan orang. Salahkan diri sendiri," katanya.

Sementara itu, Jihan bagaimanapun mengaku tidak berkecil hati dengan tanggapan salah orang ramai dan warganet mengenai soal kehamilan tersebut. Katanya, jika dirinya merupakan seorang selebriti yang mudah terasa atau tersinggung, barangkali dia tidak akan mampu bertahan dalam industri selama ini.



"Kalau cepat sensitif, tak jadi pelawaklah saya ini. Macam-macam saya dah pernah kena sebelum ini. Soal hamil ini benda baik, saya pun harapkan doa orang ramai. Mungkin lebih ramai yang cakap hal ini,ramai juga yang mendoakan saya. Nak kecil hati apa? Kita dah kahwin. Aminkanlah doa-doa itu. Kalau kita tak kahwin lagi, itu yang seram," selorohnya.

Dalam pada itu, Jihan yang mendirikan rumah tangga dengan Ungku Hariz pada tahun 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Ungku Harsalan Haq yang kini berusia empat tahun itu tidak menolak andai dirinya kembali berbadan dua. Malah katanya, dia dan suami akan berkongsi berita gembira tersebut dengan semua pihak.

"Masa saya mengandungkan anak pertama dulu, kandungan usia empat bulan baru saya umumkan. Maklumlah, kita tak tahu jika ia masih di peringkat awal. Tapi, ini bukan peringkat awal. Ini peringkat akhir saya sebesar ini. Saya tengah nak diet ini. Awas!" ujar Jihan.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: