23 November 2021

OGY KONGSI PENGALAMAN DIARAH MASUK DALAM PETI MAYAT HKL HINGGA DEMAM SEMINGGU



"Saya diarahkan oleh Jins Shamsuddin (Tan Sri) untuk masuk ke dalam peti mayat. Saya tak berani kata tidak... Sedangkan kami, baru saja nampak mayat (di bilik mayat) itu. Dia kata 'masuk sekarang!' Saya dan abang Latif (Latif Ibrahim) pun masuk.

"Benar-benar menimbulkan keinsafan sehingga saya dan abang Latif demam. Selain sejuk dan gelap, telinga saya berdengung. Kami demam seminggu," demikian cerita primadona Fauziah Ahmad Daud dimana dia tidak dapat melupakan peristiwa mengalami demam kira-kira seminggu akibat trauma selepas diarahkan untuk masuk ke dalam peti mayat.

Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy, 59, berkata, peristiwa itu berlaku di bilik forensik Hospital Besar Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Hospital Kuala Lumpur) yang antara pengalaman berharga tidak dapat dilupakannya.

Ogy berkongsi kisah itu bagi mengimbas pengalaman berharganya semasa penggambaran filem 'Esok Untuk Siapa' arahan Jins Shamsuddin yang ditayangkan pada tahun 1982.

Klik untuk gambar besar



Dalam filem itu, Ogy memegang watak sebagai Intan manakala Latif Ibrahim pula memainkan peranan sebagai Ihsan. Mereka ditemui mati lemas dalam tab mandi akibat mabuk selepas mengadakan pesta maksiat dalam rumah mereka.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman tersebut, Ogy yang pada ketika itu berusia 20 tahun berkata, berada dalam peti mayat menghadirkan perasaan insaf kepadanya. Keadaan gelap dan sejuk itu benar-benar menakutkan apatah lagi penggambaran dilakukan lebih 30 minit.

Filem itu berjaya merangkul anugerah Lakon Layar Terbaik (Jins Shamsuddin) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Norizan) pada Festival Filem Malaysia 1982.


Selain diingati dalam filem itu, lakonan Ogy dalam genre romantik komedi iaitu 'Ali Setan' yang menampilkannya bersama Azmil Mustapha pada tahun 1985 turut memberi kesan luar biasa dalam kerjaya lakonnya.

Kata Ogy, semasa mengadakan siri jelajah filem berkenaan di Johor Bahru, penonton menyerbu ke atas pentas selepas pengacara mengumumkan kemunculan Asmidar, watak beliau dalam filem itu. Pentas promosi katanya menjadi ranap dan semua pelakon terpaksa dihantar pulang ke hotel: "Semasa pulang ke hotel, peminat-peminat pun turut ikut ke hotel. Luar biasa betul masa tu," ujarnya.

Bercerita mengenai sesi peribadi pula, Ogy memberitahu, dia pernah dilamar orang kenamaan selepas bercerai dengan aktor Eman Manan pada 2003 tetapi tidak mengenali lelaki itu namun ada juga lelaki dikenali yang hendak menjadikannya isteri. Namun katanya, pada usianya sekarang, dia lebih gemar untuk menghabiskan masa berasama anak angkatnya iaitu Nur Aishah Aminah yang kini berusia 14 tahun.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: