17 November 2021

BILA GILIRAN IMAN TROYE PULA TERPAPAR DI NEW YORK TIMES SQUARE



"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas penghormatan ini. Ia satu kejayaan yang besar buat saya yang masih agak baru dalam industri muzik tempatan. Apatah lagi, saya seorang penyanyi wanita yang berhijab.

"Moga ini akan menjadi penyuntik semangat untuk saya terus berkongsi bakat," itulah kata penyanyi Iman Troye yang meluahkan rasa syukur dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila muncul di papan iklan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat.

Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin menjadi artis Malaysia berhijab ketiga muncul di papan iklan digital tersebut. Iman berkata sebagai bintang baharu dalam industri muzik tanah air, dia menitipkan rasa syukur dan terharu dengan kejayaan besar yang diperoleh ini.

Tambah Iman, sebagai seorang penyanyi wanita Malaysia yang berhijab dia berharap akan dapat terus memenuhi harapan para peminat dan turut berterima kasih atas segala doa dan sokongan yang tidak pernah padam daripada keluarga, rakan-rakan serta peminatnya.

Klik untuk gambar besar



"Saya harap dapat terus memenuhi harapan peminat yang mempercayai bakat ini. Saya berterima kasih atas doa dan sokongan yang tidak pernah padam daripada keluarga, sahabat, rakan media dan peminat," tutur Iman lagi.

Penampilan Iman yang mewakili negara Malaysia pada papan iklan terkenal tersebut adalah sebahagian daripada kempen Equal oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify. Iman juga merupakan wakil bagi senarai lagu Equal Malaysia dan Singapura.

Iman mula mencuri perhatian rakyat Malaysia selepas membuat rakaman lagu saduran artis tempatan, sekali gus menggegar ruang media sosial secara mengejut. Kemudiannya, Iman mencipta fenomena menerusi single 'Teman' yang sehingga kini meraih 45 juta tontonan dalam laman YouTube. Lagu hari raya, 'Pejam Celik Hari Raya' juga mendapat tontonan sebanyak 11 juta sejak dilancarkan Aidilfitri lalu.

Berbekalkan suara unik dan penampilan comel, Iman terus mencuri perhatian peminat kini tampil dengan single baharu berjudul 'Nang' yang sudah mencapai lebih dua juta tontonan sejak dilancarkan beberapa minggu lalu.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: