"Tertuduh sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang awam memandangkan dia seorang artis yang dikenali ramai," demikian kata Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin, terhadap sikap pelakon Ammar Alfian Aziz, sebelum Majistret S. Mageswary, menjatuhkan hukuman denda RM3,500 ke atas artis terbabit di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Hukuman itu atas pertuduhan melakukan khianat pada sebuah van menggunakan kayu besbol dan menumbuk pemandu van tersebut pada April lalu. Ammar mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya itu.
Bagi pertuduhan khianat, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara sebulan manakala pertuduhan mencederakan Ammar Alfian didenda RM1,500 atau penjara sebulan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa juga memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama di masa akan datang.
Untuk makluman, mengikut pertuduhan pertama Ammar didakwa melakukan khianat dengan mengetuk pintu sebelah kanan kenderaan jenis Toyota Hiace milik Pos Malaysia Berhad menggunakan kayu besbol sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian RM777.
Klik untuk gambar besar
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jalan Budiman Cheras, pukul 1.45 tengah hari 5 April lalu yang didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Nur Aimin Mohd Noor, 31, pada waktu, tempat dan tarikh sama yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-keduanya.
Mahkamah turut memerintahkan Ammar Alfian dihukum penjara dua bulan lagi sekiranya gagal membayar jumlah denda tersebut lapor K! ONLINE.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut.
________________________
No comments:
Post a Comment