24 November 2021

IKUT JEJAK JADI PELAWAK - ANAK-ANAK ALLAHYARHAM MR OS NAFI GUNA 'CABLE', TUMPANG POPULARITI



Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi... demikianlah pepatah bagi dua anak lelaki pelawak popular, Allahyarham Mr Os iaitu Mohamad Hazwan Mohd Yusof, 30, dan Mohamad Hafizul Mohd Yusof, 25, apabila mereka mengikuti jejak langkah arwah bapanya dengan menyahut cabaran bertanding dalam program 'Mencari Sepahtu Yang Hilang' di saluran Astro Warna mulai 2 Disember ini.

Mereka yang tampil secara duo mewakili kumpulan Arteh itu berkata, dalam kalangan semua peserta yang bertanding memang tidak tahu mereka adalah anak kandung Allahyarham Mr Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof Hamid.

Untuk makluman, Hazwan dan Hafizul merupakan cahaya mata daripada perkahwinan kedua arwah termasuk seorang lagi anak sulung yang kini bergelar doktor. Arwah turut mempunyai lima orang anak daripada perkahwinan pertama.

"Ya... kami berdua memang anak Mr. Os. Tapi ikutkan tak nak beritahu orang mengenai diri kami. Tak nak dikenali sebagai anak Mr. Os. Bimbang orang meletakkan expectation yang tinggi terhadap kami. Bukan itu sahaja, bila orang dah tahu kami anak kepada seorang pelawak legenda nanti buat silap pun akan dikritik dan kalau buat yang terbaik pun, orang akan mengata.

"Benda yang paling kami takut, bila orang tuduh kami nak tumpang populariti arwah ayah. Kami hanya membawa nama dan meneruskan legasi sahaja tapi yang pasti kami akan persembahkan sesuatu yang berbeza.

Klik untuk gambar besar



"Di antara saya dan abang, arwah ayah memang tahu saya yang lebih berminat untuk mengikut jejak langkahnya. Arwah pun tidak menghalang, tapi dia ingatkan saya supaya tahu membawa diri, tidak terkena kejutan budaya, hormati semua orang, merendah diri dan paling utama tidak tinggal solat," kata Hafizul yang memberitahu dia enggan mencuba nasib menyertai sebarang pertandingan, ketika Allahyarham bapanya masih hidup.

Sementara itu, Hazwan berkata, ketika menyertai uji bakat secara dalam talian untuk program itu, dia dan adiknya pun tidak mendedahkan hubungan pertalian darah dengan pelawak dan pelakon popular era 1980-an itu. Tambah Hazwan, apabila identiti mereka sudah terdedah, secara tidak langsung dirasakan tanggungjawab digalas mereka dalam pertandingan itu sangat besar, terutama menjadi perhatian penonton dan netizen.

"Bagaimanapun, kami sedar tidak mampu terus menghindarinya daripada pengetahuan umum kerana adik saya, Hafizul sangat seiras dengan arwah bapa, apatah lagi bila dia bertutur. Kami masuk dalam pertandingan ini untuk serlahkan bakat seni yang diwarisi daripada arwah ayah dan mahu meneruskan legasi yang ditinggalkannya.

"Malah, ibu pun memberi restu dan menyokong pembabitan kami. Cuma, pinta ibu agar kami tahu membawa diri dan menjaga nama baik Allahyarham. Ini kerana, arwah pun tidak pernah menghalang anak-anak mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni. Kami berjaya masuk program ini bukan disebabkan nama arwah ayah. Masa hantar video uji bakat pertama, tak ada sebut pun nama arwah. Bila dah berjaya peringkat seterusnya, kami ditemu bual secara maya dengan ahli Sepahtu.

"Dan ketika itu la baru Pak Ya perasan yang kami ini anak kepada Mr. Os. Sebab masa arwah masih hidup, kami yang menguruskan kerjayanya dan pernah la jumpa dengan Pak Ya. Tapi bukan sebab Pak Ya kenal, dia pilih kami... memang dia kata pemilihan itu disebabkan nampak bakat kami berdua," jelasnya lagi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: