17 November 2021

PUTEH MOHON MAAF BERSEMUKA DENGAN 'BOSSKU' ISU LAWAK PARODI - LEGA DIMAAFKAN, TAK MARAH



Kumpulan Puteh baru-baru ini telah menerima kritikan hebat daripada penonton kerana persembahan lawak mereka dikatakan mempersenda Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dek kerana itu, kumpulan Puteh yang dianggotai oleh Ali, Mamak dan Vicha akhirnya tampil menyatakan permohonan maaf apabila berpeluang bertentang mata dengan bekas Perdana Menteri itu di Klebang, Melaka pada malam Selasa.

Vicha yang berasal daripada negara Indonesia itu menarik nafas lega apabila Najib menyambut baik pertemuan mereka dan menganggap isu berkenaan sudah selesai. Dalam pada itu, Vicha yang pertama kali berdepan kontroversi dalam persembahan lawak yang dibuat itu berkata ini merupakan satu pengajaran yang tidak boleh dilupakan sepanjang 10 tahun mencari rezeki di Malaysia.

"Alhamdulillah syukur, atas bantuan Shahrol Shiro dan akhirnya Puteh dapat bersemuka dan membuat permohonan maaf dengan Datuk Seri Najib di Melaka. Lebih kurang 15 minit kami dapat bertemu dengan beliau. Syukur pertemuan kami ini dipermudahkan. Beliau sangat baik, tak ada marah pun... sejujurnya awal-awal tu takut juga nak jumpa tapi Alhamdulillah dia tenang dan hanya tersenyum.

Klik untuk gambar besar



"Lega dapat minta maaf depan-depan... beliau pun sudah memaafkan kami dan anggap isu sudah selesai. Sejujurnya kami memang tak ada niat buruk dalam persembahan itu. Apa-apa pun kami mengakui salah, memang salah. Betul kata orang, banyak lagi lawak kami boleh buat. Mungkin di Indonesia atau di negara lain tak ada masalah parodi berbentuk sedemikian, memainkan sesuatu watak atau isu sebagai hiburan adalah perkara biasa di sana.

"Tetapi dalam hal ini saya sebagai orang luar sepatutnya lebih sensitif dan tak patut lakukan hal sama di Malaysia. Ini salah satu pengajaran yang saya dapat. Selepas ini kami akan lebih berhati-hati, kami akan cuba elakkan bawa watak ahli politik. Kalau watak parodi artis mungkin tak ada masalah tapi saya akan minta izin dahulu," ujarnya.

Meskipun terpaksa berdepan kritikan dan kecaman penonton, Vicha atau nama sebenarnya Refika Novianti Faturohman berkata, apa yang berlaku ini juga memberi hikmah dan pengalaman indah buatnya dan ahli kumpulan Puteh lain.



"Sebenarnya selepas kejadian ini ada hikmah, kalau bukan sebab ini memang saya tak dapat peluang jumpa Datuk Seri Najib... iyalah bukan senang nak bertemu beliau sebab siapa kita. Alhamdulillah ini menjadi asbab kami dapat bertentang mata secara langsung. Satu pertemuan yang cukup bermakna buat saya dan ahli kumpulan Puteh.

"Dalam masa sama jadi pengajaran untuk pelawak lain juga supaya lebih sensitif dan berfikir dahulu sebelum melawak, mungkin di luar negara caranya lain, tak semua kita boleh ikut," tuturnya.

Sejak Jumaat lalu, tular di media sosial apabila penonton mengecam persembahan Puteh di pentas Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021) selepas mereka menjadikan Najib dan Rosmah sebagai bahan lawak. Menerusi persembahan itu, Ali Puteh membawa watak sebagai Najib dan Vicha membawa karakter Rosmah Mansor sedang membeli belah. Ekoran daripada kecaman tersebut menyebabkan Shahrol mencadangkan kepada ahli kumpulan Puteh untuk berjumpa Najib dan memohon maaf secara terbuka.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: