17 November 2021

EBBY YUS DEDAH PENGSAN KETIKA PESAWAT BERGEGAR: "GUNA KERUSI RODA LAKUKAN TAWAF..."



Pada 16 Oktober lalu iaitu ketika dalam perjalanan ke Makkah, pelakon dan pelawak Ebby Yus telah berkongsi pengalaman cemas dimana dia mengalami serangan jantung akibat terkejut apabila pesawat dinaikinya bergegar. Ebby berkata, disebabkan itu dia terpaksa ditahan di sebuah hospital di Maldives hingga terlepas peluang untuk mengikuti rombongan seperti yang dijadualkan.

"Ketika kejadian kira-kira satu jam lagi nak tiba di Maldives untuk transit. Waktu itu saya bangun untuk ke bilik air tapi tiba-tiba berlaku gegaran yang kuat dalam pesawat hingga saya pengsan. Sebaik sedarkan diri 10 minit kemudian, saya lihat sudah ada beberapa orang di sisi saya. Waktu itu, anak kapal juga membuat pengumuman jika ada doktor atau jururawat yang boleh berikan bantuan.

"Mujurlah ada seorang jururawat dari Malaysia yang bekerja di Riyadh, Arab Saudi dan dia tolong berikan rawatan awal kepada saya. Tiba saja di Lapangan Terbang Maldives, doktor di sana beritahu saya perlu dibawa ke hospital dan tak boleh teruskan perjalanan," katanya.

Menurut Ebby, dia sepatutnya perlu ditahan di hospital untuk beberapa hari, namun disebabkan kos yang terlalu tinggi dia minta kebenaran untuk keluar awal.

"Saya hanya ditahan satu hari saja, kemudian saya ke lapangan terbang untuk membeli tiket ke Makkah tapi malangnya tiket tiada hingga kami terpaksa bermalam di Maldives selama empat hari. Apa yang menyedihkan saya tidak berpeluang ke Madinah sebab rombongan sudah ke Makkah pada hari kelima. Jadi, saya dan Ustaz Ashraf pun beli tiket terus ke Makkah.

"Saya anggap apa yang berlaku ini adalah satu ujian. Sepanjang berada di Makkah selama enam hari saya juga terpaksa menggunakan kerusi roda ketika melakukan tawaf kerana masih belum kuat sepenuhnya. Saya bersyukur kerana semuanya dipermudahkan walaupun perjalanan umrah kali kedua ini lebih memberi ujian," katanya.

Ebby sebelum ini mendedahkan dia mengalami penyakit gastrik kronik selain lemah jantung dan buah pinggang yang menyebabkan tidak boleh terlalu aktif bekerja dan perlu berehat.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: