26 November 2021

RADHI OAG MAHU TUNTUT ROYALTI YANG SUDAH LEBIH 20 TAHUN TIDAK DITERIMA



"Semasa tandatangan kontrak, ia tiada kena mengena dengan nada dering. Benda-benda ini datang kemudian dan tidak termaktub dalam kontrak. Jadi, pihak terbabit main buat sahajalah. Tapi tidak apa, saya sedekahkan kerana apa yang lepas itu dah lepas.

"Saya cuma nak royalti yang sepatutnya walaupun hanya dikira dari enam tahun saja. Bolehlah juga buat saya untuk menyara hidup," kata penyanyi Radhi OAG yang mahu menuntut royalti lagu-lagu ciptaannya yang sudah lebih 20 tahun tidak diterima.

Menurutnya, dia juga tidak menerima sebarang bayaran penggunaan lagu dan muzik ciptaannya untuk nada dering yang popular suatu ketika dulu.

Tambah Radhi, sejak kontrak bersama EMI tamat pada 2006 dan syarikat rakaman terbabit ditutup, akaunnya secara tidak langsung dibekukan.

"Saya sendiri tidak pasti ke manakah royalti lagu-lagu saya sekarang dipindahkan. Adakah masih di bawah akaun EMI atau pihak lain. Saya tidak mahu sebut pihak lain yang ambil alih EMI.

"Saya hanya nak justifikasi dan bukan marahkan mana-mana pihak. Tujuan saya hanya untuk mempertahankan dan tuntut hak. Saya nak selesaikan perkara ini dengan baik," jelasnya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Radhi memeberitahu, dia sudah melantik peguam untuk mengendalikan kes ini. Radhi bersyukur bertemu dengan peguam berkenaan yang banyak membantunya.

"Sebelum ini memang ada pihak syarikat rakaman yang suruh datang pejabat ambil wang dalam jumlah tertentu, tapi jumlah itu tak sepadan dengan pungutan royalti dalam tempoh 20 tahun. Saya bukan tak bersyukur tapi ada baiknya saya tuntut apa yang sepatutnya saya dapat.

"Peguam saya kata, saya hanya boleh tuntut untuk tempoh enam tahun kebelakangan ini saja. Kalau lebih dari itu agak sukar selesai dalam tempoh yang cepat. Saya dah cuba dengan peguam lain tapi sering timbul masalah.

"Tapi agak berbeza dengan peguam wanita ini. Dia pula salah seorang peminat OAG ketika dahulu. Saya tanya dia berapa bayaran kerana saya memang tak berduit, tapi dia kata itu belakang kira. Dia nak bantu saya selesaikan apa yang sepatutnya menjadi hak saya buat masa ini," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: