28 November 2021

SETIAP KALI MUSIM GV - ALYAH SUDAH TERBIASA KURANG MASA DENGAN SUAMI



"Jujurnya tiap kali tiba musim GV, memang rutin seharian kami jadi agak berbeza. Jarang makan luar sama-sama. Iyelah, kata orang ia acara tahunan. Jadi jadual Tok Ram agak padat sebab bermula Selasa, dia akan sibuk untuk persiapan konsert minggu seterusnya. Saya sedia maklum dengan situasi itu.

"Malah Aqil sudah faham. Bila ada sahaja iklan GV di kaca TV, dia akan cakap uncle sibuk, tak boleh bawa jalan-jalan. Untuk ubati rasa rindu, mereka akan video call. Tapi saya percaya bukan Tok Ram saja yang sibuk, artis bertanding dan produksi pun sama beri komitmen yang tinggi.

"Masing-masing cari rezeki," ujar penyanyi Datin Alyah yang mengakui ruang masa dengan suaminya, Datuk Ramli MS yang juga juri tetap Gegar Vaganza (GV) menjadi terhad, setiap kali program tersebut mula bersiaran

Alyah berkata dia sudah terbiasa dengan situasi berkenaan memandangkan program realiti itu sudah pun berjalan lapan musim. Malah, anak saudaranya iaitu Aqil yang selalu meluangkan masa bersama mereka di rumah juga memahami situasi tersebut.

Klik untuk gambar besar



Dalam perkembangan kerjaya seni, Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan meluahkan rasa terharu apabila lagu 'Thank You Allah' kekal menjadi pilihan pendengar pelbagai peringkat usia.

"Rasa bersyukur sangat pada usia 40 tahun begini, kanak-kanak sampailah orang dewasa sukakan lagu kerohanian seperti itu. Ada yang kongsi di media sosial dan sebagainya. Terkejut juga saya. Saya tidaklah penyanyi viral sana sini. Tapi bagi saya itu rahmat paling besar dariNya.

"Hakikat itu menjadi perkara terawal yang saya fikir apabila lagu tersebut cepat menangkap halwa telinga pendengar," katanya yang bakal melancarkan single baharu awal tahun hadapan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: