09 December 2021

"ANAK-ANAK SANGAT-SANGAT GEMBIRA, TERUTAMA CINTA..." - ELYANA



"Alhamdulillah, anak-anak dah tahu (pulih daripada kanser limfoma) sejak kelmarin lagi dan mereka sangat-sangat gembira, terutama Cinta sebab dia dah besar. Malah, dia juga tahu penyakit saya ini sejak masih kecil dan belum berusia setahun lagi.

"Dia juga dah biasa kena tinggal di rumah orang iaitu rumah kawan-kawan saya yang menumpangkan dia ketika saya pergi ke hospital sejak dulu. Kadang-kadang kawan-kawan saya juga yang menghantar dan mengambilnya di sekolah.

"Dia turut merasa 'struggle' itu dan dia adalah insan paling gembira sehinggakan ketika saya pulang ke rumah, Cinta masih lagi bertanya betulkah bonda dah tak sakit, dah tak ada kanser lagi dalam badan bonda," itulah kata penyanyi Elyana.

Ujar Elyana, sebaik mendapat tahu ibunya sudah pulih daripada kanser limfoma tahap empat yang dihidapi sejak 11 tahun lalu, anak perempuan Elyana, 34, iaitu Cinta Sumayyah, 11, adalah insan paling gembira.

Klik untuk gambar besar



Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 34, ketika dihubungi berkata, dia sudah berkongsi berita gembira itu kepada anak-anak sejak kelmarin selepas dimaklumkan doktor mengenai keadaan terkini kesihatannya.

Selain Cinta, Elyana yang berkahwin dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010 memiliki seorang anak angkat iaitu Cahaya Ramadhani, 2.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu 'Kalis Rindu' dan 'Tak Tercapai Akalmu' ini, dia dengan tenang dan senang hati menjelaskan berkali-kali kepada anak kesayangannya itu bahawa kini dia memang sudah pulih, sihat dan bebas dari kanser.



"Saya cakap pada dia, Alhamdulillah dah tak ada (kanser). Ini semua sebab Cinta yang selalu solat dan doakan bonda. Jadi, saya lihat Cinta memang sangat seronok kerana dia rasa sudah mendapatkan bondanya semula macam orang lain.

"Dulu walaupun saya nampak sihat tapi selalunya saya tak dapat temankan dia jika ke hotel dan mandi di kolam renang. Saya tak dapat nak teman dia dan kadang-kadang hanya duduk di bilik kerana saya tak boleh duduk lama dan tak larat nak berjalan jauh.

"Kali ini mungkin dia mengharapkan bondanya ada perubahan. Boleh makan bersama-sama dengan dia. Kadang-kadang dia makan seorang diri di rumah sebab saya tak boleh makan dan tengok, rasa nak muntah," kongsinya.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: