24 December 2021

APA PUN TERJADI TERMASUK BANJIR - YANTZEN ENGGAN PINDAH, KERANA SAYANGKAN RUMAHNYA



Penyanyi rock, Yantzen yang berdepan dengan situasi banjir sehingga kediamannya rosak teruk apabila paras air mencecah bumbung, Jumaat lalu, sudah pulang untuk memulakan kerja pembersihan dan merancang mahu kembali ke rumah tersebut.

Ini kerana kata Yantzen yang tinggal bersendirian di Taman Sungai Serai Tambahan, Batu 12, Hulu Langat, dia terlalu sayang akan rumahnya itu. Ujar Yantzen, biar apa pun terjadi, dia tetap mahu terus duduk disitu.

"Biar apa pun terjadi kepada rumah ini, saya mahu terus duduk sini kerana sayangkannya. Minta maaf, saya kurang ingat bila saya pulang ke rumah. Apa yang saya ingat, banjir terjadi, Jumaat lalu, petangnya air semakin dekat dengan rumah dan pada sebelah malam, saya tidur di atas bumbung.

Klik untuk gambar besar



"Keesokannya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) datang menyelamat. Sekarang saya sudah pulang ke rumah dan mulakan kerja pembersihan sambil dibantu anak, kawan-kawan dan jiran.

"Boleh dikatakan 90 peratus barang di rumah saya ditenggelami air dan rosak. Saya terima keadaan rumah saya. Bagaimana yang ditunjukkan keadaan rumah saya, begitulah saya menerimanya," katanya.

Sebelum ini, Yantzen, 63, bermalam di bumbung rumah, dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai (SKSS), Hulu Langat sebaik diselamatkan anggota ATM.


Berada di PPS SKSS selama dua malam, bekas vokalis kumpulan May ini merakamkan penghargaan kepada rakan, jiran dan wakil agensi kerajaan yang membantu membersihkan kediamannya.

"Alhamdulillah, selepas dua malam tidur di PPS, saya dimaklumkan jalan ke rumah sudah boleh digunakan apabila air surut. Sebelum dibersihkan, semua bilik ditenggelami air.

"Sekarang saya sudah boleh tidur di rumah kerana sudah bersih. Bekalan air dan elektrik beransur-ansur pulih. Hari ini, saya berada di Terengganu kerana menjalankan kerja amal. Saya akan pulang petang esok," tuturnya yang yang popular dengan lagu 'Insan'.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: