30 December 2021

BADRUL MUHAYAT NAFI CULIK, TAPI AMBIL ATAS PERMINTAAN ANAK-ANAK



"Saya bukan culik anak saya, tapi saya ambil mereka atas permintaan mereka sendiri. Tak tahulah macamana kenyataan dia mengatakan saya culik anak saya. Itu memang tak benar sama sekali. Anak saya yang hubungi saya suruh ambil mereka. Sekarangkan cuti sekolah. Lagipun sepupu mereka ramai di Kuala Lumpur.

"Untuk apa saya nak buat satu perkara bodoh yang tidak waras dan benda yang bukan-bukan nak suruh satu Malaysia tahu pasal hal-hal yang macam ini," demikian kata pelakon popular era 1990-an, Badrul Muhayat, 53, yang menafikan dakwaan dia menculik dua anaknya daripada jagaan bekas isteri, Julia Daud.

Walaupun kes ini sudah selesai apabila dua anaknya sudah dikembalikan kepada Julia lewat malam Isnin lalu, Badrul berasa kesal kerana perkara yang disebarkan ini tidak betul dan menjejaskan namanya. Jelasnya, dia hanya mengambil dua anaknya atas permintaan mereka sendiri.

"Anak saya yang minta saya ambil mereka. Mereka juga dah beritahu bekas isteri seminggu sebelum ini. Saya ambil di rumah mentua hingga ia jadi kecoh tapi mereka benarkan saya ambil. Kesan umpil pintu yang dikatakan memang tak benar. Ia bukan umpil kerana anak saya ada kunci sendiri," ujarnya.

Menurutnya, buat masa ini dia belum terfikir untuk mengambil tindakan susulan. Pelakon filem 'Harry Boy' ini bagaimanapun mengakui pernah tidak konsisten memberi nafkah ketika sedang susah.

"Saya sedang fikir langkah yang terbaik untuk satu tindakan yang betul-betul padu dan tengok keadaan. Ini membabitkan anak saya, nanti tak elok pula. Saya juga turut diburukkan berkenaan isu nafkah. Ia diberi tapi manusia boleh buat apa sahaja dia nak buat. Takkan saya tak bagi nafkah, gilakah saya?

"Dia tak ingatkah yang saya tanggung anak, saya bayar bulan-bulan duit pengasuh?. Berapa yang saya ada, saya bagilah. Saya tak berlakon sekitar tujuh tahun kerana balik Johor. Jadi saya bagi nafkah ikut kemampuan saya. Kadang-kadang RM1,000, RM500 dan RM300 ikut kemampuan.

"Bekas isteri dah berkahwin semula beberapa tahun lalu. Suaminya pada mulanya tak bergaduh dengan saya. Saya pun tak suka bermusuh dengan orang tapi tiba-tiba saja jadi begini. Bukanlah saya ambil anak saya dan simpan lama-lama. Budak-budak apa yang dia tahu. Kan malu dia nak pergi sekolah dengan tindakan tak waras ibunya," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Badrul agak kecewa dengan dakwaan meninggalkan anak-anaknya Nur Delisha, 14, dan Badrul Hidayat, 11, begitu sahaja di Balai Polis Slim River sebelum diambil oleh Julia.

"Saya mulanya pergi Balai Polis Kuala Kubu Baru dan kemudian ke Balai Polis Slim River kerana polis panggil untuk rakam percakapan saya dan anak-anak saya.

"Kebetulan mereka pun panggil bekas isteri dan suaminya. Jadi selepas mereka rakam kenyataan kami, saya diberitahu oleh Pegawai Penyiasat yang mereka pun ada di sana. Saya terus berjumpa mereka dan serahkan anak-anak di situ. Dakwaan seperti yang tersebar memang tidak betul," tuturnya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro mendapatkan kenyataan Julia tidak berjaya apabila dia tidak menjawab mesej WhatsApp yang dihantar.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: