30 December 2021

TERKILAN NAMA BANYAK KALI DITOLAK - FAUZI NAWAWI SYAK KENA 'GAM' STESEN TV



"Sejujurnya saya rasa terkilan dan kecewa apabila nama saya banyak kali ditolak pihak stesen TV itu. Sebelum ini, tak pernah pun nama ditolak. Kalau sebab watak tak sesuai, saya faham. Tapi ini nama kena reject tanpa diberitahu apa kesalahan saya.

"Kalau betul pihak mereka nak banned saya, kenapa tak keluarkan kenyataan secara rasmi? Sekurang-kurangnya saya boleh buat keputusan untuk masa depan.

"Jika ada surat rasmi mengatakan nama saya disenarai hitam, boleh la saya rujuk KKMM atas dasar akta apa saya kena banned," itulah ujar pelakon Fauzi Nawawi yang meluahkan rasa terkilan apabila dia kini tidak lagi diterima di sebuah stesen televisyen (TV), gara-gara terpalit dengan kontroversi terlepas cakap isu rogol menerusi satu program temu bual.

Fauzi atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi mengakui kecewa dengan tindakan stesen TV berkenaan kerana tidak mengeluarkan kenyataan rasmi mengatakan namanya sudah disenarai hitamkan.

Klik untuk gambar besar



Terdahulu, penerbit Azman Yahya atau Jinggo memuat naik status di Instagram mendedahkan Fauzi membawa diri ke Sabah selepas tiada lagi ruang dalam industri seni.

Pada Oktober lalu, Fauzi dikecam kerana berkongsi pengalaman melakonkan watak seorang perogol bersama aktres Raja Farah dalam sebuah filem.

Lebih menambahkan kemarahan ramai apabila Fauzi dilihat begitu bersungguh-sungguh menerangkan dengan terperinci situasi di set penggambaran menerusi sebuah program temu bual yang ditayangkan secara terbuka di televisyen.

Bagaimanapun, pelakon berusia 48 tahun itu membuat permohonan maaf terbuka kepada Raja Farah dan suami serta keluarga yang terkesan dengan hal berkenaan.


Dalam pada itu, pelakon drama Penjara Janji ini memberitahu dia membawa diri ke Sabah kerana ingin mencari peluang peniagaan di sana demi menampung kehidupan keluarganya.

"Saya tak nak bergantung rezeki kepada orang. Bukan bermaksud saya tarik diri daripada bidang lakonan tapi saya nak cuba cari peluang lain.

"Apabila nama saya asyik kena reject stesen TV, saya rasa sudah tiba masa saya bawa diri dan cuba bidang lain. Jadi, saya buka sebuah kedai di Sabah.

"Buat masa ini, saya berulang-alik. Insya-Allah saya percaya pada rezeki. Saya kena buat kerja lain sebab ada keluarga dan anak-anak masih bersekolah," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: