"Saya turun padang sebab mahu merasai pengalaman dan tengok sendiri keadaan masyarakat yang ditimpa banjir. Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan sebab saya masih lagi jaga pantang (selepas bersalin).
"Malah, suami juga merestui tindakan saya," demikian jelas pelakon Wawa Zainal berhubung diri yang dipersoal meredah banjir walaupun belum habis berpantang, dek mahu menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
Meskipun ramai yang memuji semangatnya, namun ada segelintir netizen meluahkan rasa bimbang dengan kesihatannya yang masih dalam tempoh berpantang.
Dalam pada itu, ada netizen mempersoalkan apa yang pelakon itu cuba buktikan dengan berbuat demikian sedangkan dia mempunyai ramai kakitangan yang boleh turun padang.
Sebelum ini, isteri kepada pelakon Aeril Zafrel itu menjadi perhatian ramai apabila berkasut tumit tinggi selepas seminggu bersalin.
Klik untuk gambar besar
Difahamkan, Wawa yang baru sahaja 24 hari berpantang, berkongsikan video di laman Instagram memaparkan dirinya menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Puchong pada Jumaat lalu.
Sementara itu, Wawa yang dapat melihat sendiri keadaan lokasi yang terlibat banjir itu memberitahu keadaannya sangat teruk dan segala harta benda rosak.
"Saya tengok sendiri keadaan rumah penduduk kampung. Mereka memang memerlukan bantuan terutama barang-barang seperti tilam, bantal dan lampin bayi.
"Kalau soal bantuan makanan, mereka sebenarnya sudah banyak menerima bantuan. Saya ada juga beri sumbangan dalam bentuk makanan, tetapi sekarang mereka lebih memerlukan tilam dan bantal," ujarnya.
________________________
No comments:
Post a Comment