27 December 2021

PELAKON 'ALI BABA BUJANG LAPOK' TERLANTAR SEMINGGU AKIBAT ANGIN AHMAR



Pelakon tambahan dalam empat filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Abdul Kadir Mamat difahamkan sudah kira-kira seminggu terlantar di rumah akibat diserang angin ahmar.

Sebelum ini, pada usia 89 tahun, warga emas ini masih memiliki kudrat menunggang motosikal keliling kampung menjaja makanan ringan demi kelangsungan hidup.

Tidak cukup itu, Abdul Kadir dari Kampung Kota Jembal, di sini, aktif menyertai rondaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sekitar kawasan penempatannya pada sebelah malam.

Terkini, pelakon veteran ini diuruskan isteri, Hasmah Yusof, 56, selepas diserang angin ahmar. Abdul Kadir yang mesra disapa Pak Dir berkata, selain diserang strok, dia menghidap kanser prostat dan asma sejak beberapa tahun lalu.

Klik untuk gambar besar



"Walaupun memakai beg stoma disebabkan kanser prostat, saya boleh menunggang motosikal sama ada menjaja makanan ringan atau meronda sekitar kampung.

"Bagaimanapun, sejak minggu lalu, saya terlantar kerana diserang strok sebelah tubuh iaitu bahagian kanan yang menyukarkan pergerakan dan perlu bergantung kepada isteri," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Pak Dir yang sudah lima kali berkahwin dan tidak dikurniakan cahaya mata bergantung hidup kepada hasil jualan bertih jagung selain bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM400 sebulan.

Dia berkata, walaupun sedang membiasakan diri terlantar, nalurinya untuk kembali aktif bekerja meronta kerana hidupnya sudah biasa membanting tulang sejak remaja.

"Sebolehnya saya enggan menyusahkan isteri. Nasib saya agak baik kerana masih mampu mengesot untuk ke bilik air. Cuma untuk menjalankan kerja hakiki tidak boleh," ujarnya.

Mengakui kenangan sepanjang berlakon di layar perak masih segar di ingatan, Pak Dir bagaimanapun tidak ralat apabila pelakon lama semakin dilupakan. Baginya, ia adalah lumrah kehidupan.

Antara filem yang dilakonkan adalah 'Ali Baba Bujang Lapok', 'Kanchang Tirana', 'Enam Jahanam' dan 'Pendekar Bujang Lapok'.

"Walaupun hanya muncul sebagai watak kecil dalam empat filem itu, masih ada pihak yang datang menziarah. Antaranya Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) yang diwakili Datuk DJ Dave serta Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), tiga tahun lalu," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: