13 December 2021

DAH TERSINGKIR PUN MASIH TERIMA KOMEN NEGATIF - FAZLEY SELESA MENYANYI DALAM STUDIO



"Saya dapat tidur lena apabila dapat tahu cef itu sudah tiada dalam program itu lagi".

"Minggu depan baru betul game on selepas Fazley terkeluar, pertandingan yang sebenar baru bermula".

Itulah antara komen-komen negatif yang diterima penyanyi Datuk Fazley Yaakob meskipun sudah tersingkir daripada program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), malam tadi.

Rata-rata netizen di Twitter melahirkan rasa gembira dengan keputusan juri memberikan markah terendah kepada Fazley yang juga merupakan seorang cef selebriti. Kata mereka, Fazley lebih sesuai meneruskan kerjaya dalam bidang masakan berbanding nyanyian.

Dalam pada itu, bukan hanya komen negatif, Fazley yang menyanyikan lagu 'Mahligai Syahdu' nyanyian asal Datuk Hattan pada minggu keempat GV8 itu turut menerima komen positif dan kata-kata semangat daripada netizen.

"Tak mengapa Datuk, bertahan sampai minggu keempat dianggap satu pencapaian untuk orang yang lama tak menyanyi. Thumbs up!" kata netizen itu.

Klik untuk gambar besar



Terpaksa berpuas hati dengan markah sebanyak 50 peratus, Fazley bagaimanapun sendiri seakan sudah menjangkakan dia akan meninggalkan pentas GV8. Meskipun begitu, Fazley berasa lega dan puas hati dengan persembahan terakhirnya itu dalam GV8.

"Kepada mereka yang nak tengok saya berhenti menyanyi dan memasak... jemput datang ke bistro saya," ujar penyanyi lagu 'Asmara Ini'.

"Ada dua perasaan yang sangat utama... pertamanya saya rasa lega sebab pentas GV ni sangat berat untuk saya. Keduanya saya rasa puas sebab sudah bagi persembahan yang lebih baik daripada minggu lalu. Berjaya bertahan sampai minggu keempat pun di luar jangkaan sebab saya jangka hanya di minggu pertama," katanya lagi.



Fazley dalam masa sama turut mengakui serik untuk menyertai mana-mana pertandingan nyanyian pada masa akan datang. Namun kata Fazley, 43, kegagalannya meneruskan persaingan dalam pentas besar seperti GV8 tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus aktif dalam bidang nyanyian.

"Saya tahu pentas GV ni bukan untuk saya. Apabila dah masuk dan tengok latar belakang peserta yang bertanding, saya sedar mereka sangat bagus berbanding apa yang saya tampilkan.

"Tempat saya adalah studio rakaman. Saya penyanyi rakaman, bukannya penyanyi pentas. Apabila dalam studio, jika ada salah kita boleh perbaiki. Saya rasa ini pentas pertandingan yang pertama dan terakhir sebab saya buat ini pun untuk anak saya," tuturnya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: