11 December 2021

DULU SEORANG PELAYAN, KINI SENIMAN TERBAIK - REMY ISHAK TAK LUPA JASA PAKNIL



"Paknil, Alhamdulillah. Dapat juga saya pegang trofi daripada FFM. Bukan senang. Paknil sendiri tahu saya bermula daripada mana. Paknil tahu macam mana perjalanan seni saya. Alhamdulillah semalam apabila saya diiktiraf oleh FFM dengan diberi penghargaan. Terima kasih atas doa dan kata-kata semangat yang Paknil beri pada saya selama ini.

"Kata-kata yang selalu buatkan saya sentiasa berusaha untuk buat yang terbaik," itulah kata pelakon Remy Ishak menerusi sebuah hantaran video yang dihantar kepada pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi, dimana dia menzahirkan ucapan terima kasih kepada figura itu kerana banyak memberi nasihat dan kata-kata semangat buat dirinya.

Meskipun sudah berjaya, Remy tidak melupakan jasa baik Aznil atau mesra disapa sebagai Pak Nil yang membawanya ke industri seni sebagai seorang pelakon.

Aznil menerusi laman Instagram telah mendedahkan bahawa Remy pernah datang untuk bertemu dengannya ketika pelakon tersebut bekerja sebagai seorang pelayan di Hotel Mandarin Oriental suatu ketika dahulu.

Klik untuk gambar besar



"Dia (Remy) pernah datang dekat paknil (panggilannya) masa jadi pelayan di Mandarin Oriental. Remy beritahu dia nak jadi pelakon! Sekarang dia adalah seniman terbaik!" ujar Aznil.

Aznil mendedahkan perkara tersebut selepas berkongsi rasa gembira atas kejayaan Remy menggenggam trofi Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) malam tadi menerusi filem 'Sangkar'.

Ujar Aznil lagi, dia tidak akan berhenti daripada bercerita tentang azam pelakon berusia 39 tahun itu untuk dijadikan contoh kepada pelakon lain supaya tidak berhenti daripada memburu impian menjadi pelakon terbaik.

Untuk rekod, sebelum ini, Remy pernah tercalon sebanyak tiga kali sepanjang penganjuran FFM namun edisi ke-31 kali ini merupakan kemenangan pertamanya sepanjang 15 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan tanah air.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: