Alhamdulillah... tahniah kami ucapkan kepada pelakon Remy Ishak atas kemenangannya apabila menjulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) malam tadi, selepas 15 tahun menanti.
Remy menyifatkan penantiannya selama 15 tahun itu berbaloi, apabila sebelum ini pernah tiga kali tercalon dalam anugerah berprestij itu namun rezeki tidak berpihak kepadanya.
"Syukur Alhamdulillah. Memang rezeki saya tahun ini. Jujuarnya bukan senang untuk terima penghargaan ini. Tahun ini merupakan pencalonan keempat saya dan akhirnya saya berjaya bawa pulang juga trofi berprestij ini. Tetapi saya tidak nafikan calon lain juga tidak kurang hebatnya," katanya.
Klik untuk gambar besar
Memenangi anugerah tersebut menerusi filem 'Sangkar', Remy berkata ia menjadi satu kenangan istimewa buat dirinya dan dia sememangnya menantikannya.
"Memang saya tak jangka langsung dan sampai sekarang ini pun masih menggeletar. Anugerah ini bagi saya sangat istimewa. Memang saya menantikannya," ujarnya.
Terdahulu, Remy pernah tercalon dalam kategori Pelakon Harapan Lelaki Terbaik pada FFM 23 menerusi filem 'Evolusi KL Drift 2'. Seterusnya, Remy turut tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM 24 menerusi filem 'Nur Kasih The Movie'. Kali terakhir Remy tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM 30 menerusi filem 'Pulang'.
________________________
No comments:
Post a Comment