21 December 2021

RUMAH TENGGELAM DEK BANJIR - YANTZEN DALAM KEADAAN BAIK, TENANG DI PPS



Pada Sabtu lalu, penyanyi Yantzen, 63, telah terperangkap dalam musibah banjir besar yang berlaku di kediamannya hingga tenggelam. Yantzen kini ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) sebuah sekolah di Batu 12 Hulu Langat sejak dibawa keluar, kelmarin (Ahad).

Pengerusi Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama), Ayob Abd Majid yang melawat Yantzen ketika dihubungi berkata, keadaan Yantzen baik di PPS itu dan esok dia akan ke Terengganu kerana ada persembahan di sana.

"Semalam ketika berjumpa dengan Yantzen, dia tenang dan sedia untuk menjayakan persembahan di Terengganu, esok. Cuma, kami perlu membantu menyiapkan pakaian untuk dia kerana semua pakaiannya sudah rosak akibat banjir. Yantzen turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin dengan situasi dialami dan tampil membantu," katanya.

Ditanya juga mengenai bantuan kewangan yang disalurkan kepada Yantzen, Ayob berkata, Irama ada menubuhkan Tabung Mangsa Banjir Pengiat Seni yang memberi ruang kepada orang ramai menghulur sumbangan.

Menurut Ayob, sumbangan dikumpul daripada tabung itu akan diagihkan membantu semua penggiat seni yang menjadi mangsa sekali gus terjejas akibat bencana alam itu.

Justeru, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka untuk Tabung Mangsa Banjir Pengiatseni kepada Irama di nombor akaun 14030006799718 (Bank Muamalat).

Sementara itu, Yantzen ketika dihubungi berkata, dia sedang meninjau keadaan rumahnya Taman Sungai Serai Tambahan, Batu 12, Hulu Langat selepas banjir mula surut.

"Saya sangat sibuk sekarang sebab dalam perjalanan nak balik tengok rumah. Maafkan saya dan terima kasih," katanya ringkas.

Terdahulu, Ayob berkata, Yantzen tidak mahu ditemubual buat masa ini kerana terlalu ramai yang menghubunginya. Katanya, Yantzen juga berpesan jika ingin membantu boleh terus salurkan sumbangan ke akaun disediakan.

Yantzen bersyukur apabila dia dapat diselamatkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dipanggil membantu untuk menyelamatkan mangsa terkandas banjir dengan menggunakan bot besar.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: