31 December 2021

SPIDER-MAN PUNYA PASAL - NABIL MAHIR BOOKED SATU PANGGUNG, DEK BIMBANGKAN C0V1D



Minat watak Spider-Man sejak kecil dan juga bimbang akan penularan C0V1D, membuatkan pengacara dan usahawan Nabil Mahir mengambil keputusan menempah dan membeli keseluruhan panggung di ibu kota baru-baru ini, supaya dia dan keluarganya dapat menonton filem terbaharu iaitu 'Spider-Man: No Way Home' dalam keadaan selesa.

"Saya memang minat tengok filem di panggung wayang, lebih-lebih lagi jika filem Marvel. Tetapi, sejak bermulanya pandemik, saya risau nak pergi menonton wayang di panggung. Sudah dua tahun saya tidak menonton wayang, sebab takut nak beramai-ramai dengan orang.

"Ada beberapa filem lain yang saya tidak sempat tengok. Jadi, saya tidak mahu ketinggalan menonton Spider-Man: No Way Home ini di panggung wayang. Sebabnya, watak Spider-Man itu sendiri cukup dekat dengan saya sejak kecil lagi. Saya tak nak ketinggalan menontonnya di panggung. Jadi fikir punya fikir, saya ambil keputusan untuk tempah satu hall dan bawa Ayda serta ahli keluarga lain untuk menonton sekali," ujarnya.

Tidak dinafikan, fenomena yang dicetuskan oleh filem 'Spider-Man: No Way Home' sejak ia dilancarkan cukup luar biasa. Saban hari, kebanyakan panggung yang menayangkan filem lakonan Tom Holland itu terisi penuh dengan penonton, menjadikan filem tersebut sebagai filem paling berjaya dari segi sambutan dan kutipan sepanjang tempoh pandemik.

Klik untuk gambar besar



Disebabkan kes C0V1D harian masih lagi banyak, Nabil berasa berat hati untuk menonton siri filem kegemarannya itu dengan orang awam. Berjaga-jaga demi keselamatan, Nabil bukan sahaja menempah satu panggung wayang untuk tontonan seisi keluarga, malah menempah bilik hotel berdekatan untuk memudahkan mereka solat Maghrib selepas selesai menonton.

"Apabila sudah menempah panggung wayang, saya terfikir pula, bagaimana nak solat? Jadi, saya tempah bilik hotel berdekatan supaya kami dapat solat dengan selesa," katanya.

Ditanya mengenai pelakon manakah yang menjadi kegemarannya dalam membawa watak Spider-Man, suami kepada penyanyi dan pelakon Ayda Jebat itu menjawab:


"Saya suka Tom Holland sebagai Spider-Man. Tobey McGuire menjadi Peter Parker dengan baik, tetapi kurang menyengat apabila berubah menjadi Spider-Man. Andrew Garfield pula bagus apabila menyarung kostum Spider-Man tetapi kurang menyerlah sebagai Peter Parker.

"Bagi saya, Tom Holland menyeimbangi kedua-dua watak ini dan kena dengan karakternya juga. Tambahan pula saya pernah menemu bualnya beberapa tahun lalu, jadi dia menjadi pilihan Spider-Man kegemaran saya," tuturnya lagi.

Untuk rekod, sehingga 28 Disember lalu, sebanyak 2.9 juta penonton telah menonton 'Spider-Man: No Way Home' seperti yang dilaporkan oleh GSC Cinema dan menerima kutipan sebanyak AS$1.16 bilion (RM4.84 bilion).

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: