31 December 2021

SUHU BADAN KERAP TURUN NAIK - ANAK AIN EDRUCE DIJANGKITI PARAINFLUENZA



Anak kepada pelakon dan pengacara Ain Edruce yang baru berusia tujuh bulan itu baru-baru ini telah mengalami demam panas sehingga 39 darjah. Menurut Ain, lebih merisaukan apabila doktor memaklumkan anak perempuannya yang bernama Soraya, dijangkiti virus Parainfluenza dan terpaksa ditahan wad sejak Rabu lalu.



Berkongsi perkembangan kesihatan anaknya selepas tiga hari dirawat di Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya, Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce, 30, berkata doktor hanya memantau keadaan Soraya memandangkan tiada ubat untuk virus tersebut.

"Dia mula batuk dan selsema pada Rabu. Masa dia bangun tidur tengah hari itu suhu badan dia naik sehingga 39. Saya dan suami terus bawa ke unit kecemasan.

"Soraya terpaksa ditahan wad dan ambil darah. Doktor maklumkan Soraya dijangkiti Parainfluenza... tapi bukan Influenza. Virus ini tak ada ubat untuk dia. Apa yang doktor boleh buat, pantau keadaan suhu badan, batuk dan selsema," kata Ain ketika dihubungi mStar.

Klik untuk gambar besar



Pelakon sitkom 'Jenaka Kampung Kalut (JKK)' ini menerusi laman Instagram miliknya sebelum ini ada berkongsi video memperlihatkan anaknya berada di sebuah hospital.

Sementara itu, Ain turut memberitahu suhu badan anaknya agak sering turun naik. Berharap keadaan Soraya cepat sembuh, Ain berkata anaknya berkemungkinan akan dibenarkan pulang ke rumah pada Sabtu.

"Pagi tadi doktor periksa suhu badan dah turun tapi tengah hari naik balik. Suhu badan dia kejap naik, kejap turun. Insya-Allah kalau keadaan dia semakin baik, esok dah dibenarkan pulang. Harap semua boleh doakan Soraya cepat sembuh," ujarnya.

Untuk makluman, Ain berkahwin dengan ahli perniagaan, Muhammad Amirul Hafiz, 28, pada 13 Disember 2019 dan dikurniakan cahaya mata, Soraya pada 19 Mei lalu.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: