31 December 2021

VOKALIS BAHARU SEARCH - DENDEN GONJALES DIPILIH



Penyanyi Indonesia Denden Gonjales, 38, telah dipilih sebagai vokalis baharu bagi menggantikan penyanyi Amy yang sebelum ini keluar daripada kumpulan Search.

Difahamkan, Denden sebelum ini menjadi tumpuan dunia berikutan aksinya di 'blind audition' program The Voice Bulgaria, malah pernah bekerjasama dengan penyanyi popular negara itu seperti Inka Christie dan Judika membuat juri program terbabit terpukau ketika menyanyikan lagu 'She's Gone' nyanyian asal Steelheart.

Dalam projek kolaborasi antara dua negara, pemain gitar Search, Noordin Mohd Taib berkata, kemampuan Denden menyanyikan lagu bernada tinggi amat sesuai dengan genre muzik Search.

"Search memilih Denden kerana suaranya dan dia boleh menyanyikan lagu bernada tinggi dan amat sesuai dengan Search. Dengan usia yang masih muda iaitu 38 tahun kami yakin dia boleh membawakan lagu-lagu Search dengan baik.

"Usia yang cukup sesuai untuk kemuncak prestasi," jelasnya pada sidang media Pengumuman Penyanyi Baru Search & Pembukaan Search Rock Station di Kompleks Campbell di sini, hari ini.

Selain Noordin dan Kid sebagai pemain gitar serta Denden sebagai penyanyi, Search juga mengumumkan pemuzik berpengalaman luas iaitu Yan sebagai pemain bass mereka.

"Perancangan kami ialah tahun depan mengadakan konsert. Mungkin juga kami akan merakamkan semula lagu-lagu lama," katanya.

Search juga mengekalkan khidmat Pae sebagai pemain dram. Sebelum ini Pae adalah pemain dram undangan bagi menggantikan Allahyarham Yazit Ahmad ketika beliau mula mengalami masalah kesihatan beberapa tahun lalu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: