05 December 2021

TAK IZIN ISTERI JADI PENYANYI - HAQIEM RUSLI MAHU SOFEA FOKUS DENGAN PERNIAGAAN



"Sofea boleh menyanyi, suaranya sedap seperti penyanyi Indonesia yang mempunyai 'tone' suara yang baik. Namun, biarlah saya seorang sahaja bergelar anak seni, lagipun, saya mahu isteri fokus pada perniagaan kami, SanThai Village sebab mahu buka francais kedua dan seterusnya.

"Lagipun, Sofea tidak biasa dengan dunia hiburan, jadi biarlah dia fokus dengan perniagaan. Kalau nak cakap soal cemburu, sebagai suaminya tentulah saya cemburu, sebab itulah lumrah.

"Tetapi, cemburu saya tidaklah keterlaluan," jelas penyanyi Haqiem Rusli, 23, yang mendedahkan syarikat rakaman, FMC Music mahu mengambil isterinya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 19, untuk dijadikan penyanyi, namun dia tidak bersetuju, sebaliknya berpendapat biarlah dirinya seorang sahaja berkecimpung dalam dunia muzik.

"Buat masa ini, saya gembira apabila Sofea mendapat perhatian. Bukan mahu berbangga pengikutnya dalam laman sosial naik, namun, saya gembira apabila sesuatu perkara boleh membuatkan isteri gembira. Seperti anda juga gembira apabila jumlah pengikut naik. Namun, saya tidak menafikan Sofea malu dan gementar berhadapan dengan wartawan, tetapi saya banyak memberikan nasihat. Kini, Sofea sedang belajar menerima perhatian dari orang ramai," ujarnya lagi.

Klik untuk gambar besar



Mendirikan rumah tangga pada 19 November lalu, Haqiem mengakui, kehidupannya kini lebih sempurna dan lebih terisi dengan kehadiran isteri yang sentiasa di sisi. Menepis sangkaan orang ramai bahawa berkahwin muda mengehadkan pelbagai perkara, Haqiem memberitahu dia seronok bergelar suami, malah tidak merasakan kahwin pada usia ini mampu membuatkan popularitinya merudum.

"Saya seronok dan bahagia sebab ini adalah fasa baharu dalam hidup saya. Sekarang, saya ada seseorang yang boleh membimbing selama 24 jam. Maksudnya, Sofea boleh menegur jika saya melakukan kesilapan dan sebagainya. Sebelum ini, ibu bapa menegur, tetapi ada isteri agak berbeza.

"Saya akui perjalanan baru ini seronok kerana apa sahaja urusan Sofea, saya perlu ada, begitu juga sebaliknya. Dalam pada itu, kami masih mencari keserasian dan mematangkan hubungan agar tiada benda yang tidak baik terjadi. Doa yang terbaik buat kami," kata penyanyi lagu 'Mimpi' ini.


"Berkahwin muda adalah urusan Allah. Kalau bercakap soal populariti, semuanya berbalik pada rezeki, nak kata populariti merudum selepas berkahwin, itu semua juga urusan Allah. Allah memberikan rezeki, jadi saya akur dengan ketentuan-Nya.

"Jadi, saya tidak terkesan dengan isu kahwin muda boleh membuatkan populariti merudum. Di sebalik itu, saya tetap akan berusaha untuk kekal relevan. Insya-Allah, saya akan menghasilkan karya berkualiti kerana sebagai penyanyi, perlu mempunyai karya berkualiti untuk terus mengekalkan kejayaan," ujarnya.

Haqiem turut menyokong rakan lain berkahwin pada usia muda sekiranya situasi mengizinkan: "Tak perlu dengar mulut orang mengatakan habislah segala-galanya jika berkahwin muda. Sekiranya habis sekalipun, itu sudah pun ditulis. Janji sebagai manusia, kita buat perkara wajib dan gembira dengan apa yang dilakukan," tuturnya.


Sumber: Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: