11 December 2021

VIDA TERKILAN TAK HULUR BANTUAN - ANAK ARWAH GMIE NAFI BAPA MEMINTA, SYAK WUJUD SALAH FAHAM



"Sebenarnya itu semua salah faham, abah tak ada minta bantuan. Tetapi ada kenalan abah nak tolong dan dia bekerja dengan individu yang berpangkat tinggi. Wakil daripada individu berkenaan bertanya tentang keadaan abah kepadanya dan dia buat surat untuk meminta bantuan dengan menggunakan nama abah.

"Tetapi surat itu bukan abah, saya atau ahli keluarga lain yang keluarkan, semuanya kenalan abah yang buat. Abah takut kalau orang lain fikir seperti dia mahu mengambil kesempatan dengan menggunakan popularitinya untuk mendapatkan sumbangan dari peminat. Kami sekeluarga memang langsung tak pernah meminta sumbangan daripada mana-mana pihak.

"Waktu abah start sakit dulu dia minta cuti, lama-lama terus berhenti kerja sebab keadaannya yang semakin teruk. Abah ada duit simpanan untuk menyara kami sekeluarga dan dalam masa yang sama, saya tolong abah sepanjang PKP. Abah tak pernah minta bantuan, tetapi jasa baik daripada orang kampung... ya Allah, semua orang yang kenal abah.

Klik untuk gambar besar



"Mereka tolong abah dengan memberi bantuan dari segi makanan, wang dan barang," demikian kata anak sulung kepada Allahyarham Gmie Screen, Siti Hadirah yang menafikan arwah bapanya pernah meminta sumbangan atau meminta-minta, apatah lagi memohon bantuan kewangan kepada jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida.

Menurut Siti Hadirah, apa yang diberitahu Vida tentang wakil arwah meminta bantuan hanya salah faham apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap kesihatan bapanya.

Sementara itu, berkongsi kenangannya terakhir bersama arwah, kata Siti Hadirah, arwah sering meminta dia pulang ke rumah sejak sebulan lalu. Katanya lagi, arwah seolah-olah mahu anak-anaknya berada di rumah dan menghembuskan nafas terakhir bersama keluarga.



"Sejak seminggu ni abah selalu cakap balik sini cepat (ke rumah dia) setiap kali saya nak balik ke rumah sendiri. Sebab dalam sebulan lepas, dia pernah cakap pada saya 'balik cepat rumah abah, nanti abah dah tak ada... kau tak ada'.

"Kalau boleh abah tak nak meninggal di hospital, dia nak meninggal di rumah di samping keluarga dan dikebumikan bersebelahan dengan kubur arwah ibunya. Kali terakhir saya bercakap dengan abah pada malam Khamis, nurse minta tolong video call dan dia cakap abah dah tak larat, abah dah penat," jelasnya dipetik sebagai berkata kepada mStar.

Sebelum ini, Vida meluahkan rasa terkilan apabila tidak dapat memberikan sumbangan bagi membantu meringgankan beban arwah Gmie atau nama sebenarnya Jajmi Ibrahim ketika Allahyarham berdepan masalah kesihatan. Mendedahkan pernah dihubungi wakil Gmie, Vida berkata, dia memang berniat untuk menghulurkan sedikit sumbangan namun terlepas pandang disebabkan terlalu sibuk dengan urusan kerja.



"Sebelum meninggal dia ada cakap fasal sakit dia buah pinggang bocor sampai tak boleh jalan dan dia nak benda ni personal. Mungkin keperluan dari segi kewangan fasal sakit dia. Ya Allah saya lupa. Ada pihak yang menghubungi saya yang katanya daripada Astro bagi memohon bantuan untuk arwah ketika itu.

"Saya terkilan sebab tak dapat nak bantu meringgankan beban dan kos perubatan dia waktu itu. Saya dah dapatkan semua detail nombor akaun dia tapi saya lupa, saya terlepas pandang sebab lupa nak inform PA saya, saya rasa ralat sangat," ujar Vida atau nama sebenarnya Hamiza Othman.

Dalam pada itu, Vida yang juga penaja program realiti Gegar Vaganva musim ketiga (GV3) berkata, dia akan menunaikan niat itu dan menziarahi keluarga Allahyarham dalam masa terdekat: "Saya akan tunaikan hasrat saya. Saya dah minta alamat untuk ziarah family dia dalam masa terdekat ni. Saya bukannya nak tumpang story semua orang," tuturnya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: