25 January 2022

AISHAH TERHARU DIKURNIA PANGKAT DATUK: "SAYA MASIH SEPERTI YANG DAHULU..."



"Jujurnya, saya sangat terharu atas kurniaan pangkat (Datuk) ini. Apabila dikenang semula aturan suka duka perjalanan kerjaya seni, saya tak pernah tidak menitiskan air mata. Adat dan lumrah, hidup pasti ada turun naik. Ada yang suka dan sebaliknya. Walaupun dunia seni ini sering diperlekehkan, saya percaya keikhlasan menyampaikan mesej dalam lagu sedikit sebanyak mempengaruhi pendengar.

"Kurniaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang dan berkarya. Sudah tentu status ini dipelihara sebaik mungkin untuk perkara positif dan kerja amal," demikian tutur penyanyi versatil, Datuk Aishah yang menyifatkan kurniaan diterima adalah satu pengiktirafan berharga sepanjang lebih tiga dekad bergelar pejuang seni.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 57, dianugerahkan pingat Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Ke-74, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Seri Menanti pada Sabtu lalu.

Klik untuk gambar besar



Mengakui canggung dengan pangkat itu pada mulanya, penyanyi lagu 'Janji Manismu' dan 'Bahtera Merdeka' itu pernah terbit rasa bimbang saat orang memanggilnya menggunakan gelaran itu.

"Setiap kali orang memanggil saya Datuk, secara automatik saya mula menoleh ke belakang kerana berfikiran mereka bercakap dengan orang lain. Takut salah bual. Namun, walau apapun gelaran yang dikurniakan, saya masih seperti Aishah yang dahulu. Tiada apa yang dapat mengubahnya.

"Gelaran ini sebagai satu penghargaan kepada mereka yang lama berkhidmat dalam pelbagai bidang. Ia gelaran yang kebiasaannya digunakan pada majlis rasmi. Alhamdulillah, anak, rakan dan peminat masih ada bersama saya merasai kegembiraan ini," jelas ibu kepada Armand Azhari dan Azhad Ahlami ini.



Pernah diangkat sebagai artis pertama yang menyandang Artis Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 1990 itu bagaimanapun agak kecewa kerana kemanisan dirasai itu tidak dapat dikongsi ibu bapa dan adik beradik yang sudah tiada. Aishah berharap, sisa baki perjuangannya akan terus memberi manfaat dan kegembiraan kepada orang lain.

"Saya ada berbual dengan teman hampir sebaya. Pelbagai cerita yang dibualkan termasuklah mengenai industri seni dan kehidupan. Siapa tahu ini barangkali fasa akhir untuk kerjaya dan kehidupan saya. Moga apa yang tersisa dapat diteruskan dengan meninggalkan legasi terbaik yang boleh beri manfaat untuk masyarakat," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi kelahiran Jempol, Negeri Sembilan itu teruja apabila single terbaharu berjudul 'Ketentuan Takdir' akan menemui peminat.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: