08 January 2022

AMBIL VIDEO RUMAH TANPA KEBENARAN - MAN MOHON MAAF DENGAN MAEL XPDC



"Saya, Man Max ingin memohon maaf kepada sahabat saya iaitu Mael XPDC dan keluarganya atas salah faham yang berlaku sewaktu saya membuat kandungan YouTube berkaitan terjahan di rumahnya. Tindakan saya memuat naik video ke saluran YouTube saya membuatkannya marah kepada saya. Saya tiada niat untuk mengaibkannya.

"Niat saya hanyalah untuk menunaikan permintaan peminat yang mahukan perkembangan Mael di saluran YouTube saya. Saya tak mahu lagi kisah ini berpanjangan kerana saya dan Mael adalah sahabat," jelas bekas pemain dram kumpulan May, Man memohon maaf kepada penyanyi Mael XPDC menerusi laman Facebook, selepas dia didakwa mengambil video rumah Mael di Muar, Johor untuk 'content' (kandungan) saluran YouTube tanpa kebenarannya, baru-baru ini.

Man yang kini anggota kumpulan Max berkata, dia tidak berniat untuk mengaibkan Mael dengan memuat naik video berkenaan di YouTube. Menurut Man, dia juga membuat kandungan itu untuk memenuhi permintaan peminat Mael dan pengikut saluran YouTubenya. Man berkata, dia juga bersedia untuk bertemu dengan Mael untuk memohon maaf jika penyanyi itu memberi ruang kepadanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Man mendakwa dia mendapat persetujuan Mael untuk merakamkan video di rumah Mael. Namun, apabila tiba di situ, Man mendakwa Mael seperti cuba melarikan diri mengikut pintu belakang sejurus selepas melihat dia tiba di kawasan rumahnya.

Mael ketika dihubungi pula mendakwa dia tidak pernah menyatakan persetujuan membenarkan Man mengambil video berkenaan untuk kandungan YouTube.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: