27 January 2022

"ABAH SURUH JAGA APABILA DIA TIADA" - ANAK TAK SANGKA ARWAH BAPANYA, PIAN CECUPAK BUKA PUSAT TAHFIZ



"Abah mesej beritahu fasal pusat tahfiz dia. Dia suruh jaga apabila dia tiada, selalu cakap benda tu dengan saya. Saya macam tak fikir apa-apa pun, dia cakap jangan anggap dia gila... rupanya benda tu betul-betul dia buat. Saya baru dapat contact number pusat tahfiz tersebut, saya tak tahu yang abah sebelum ni ada pusat tahfiz cuma dia pernah beritahu suruh uruskan pusat tahfiz tu.

"Tapi saya tak tahu lagi lokasinya di mana, lepas dah uruskan jenazah abah baru saya akan uruskan hal pusat tahfiz tu," kata anak kepada Allahyarham Pian Cecupak atau Mohd Rafik Abdul Rahman iaitu Nuraina Fazrin, 25, yang memberitahu dia tak sangka arwah bapanya itu membuka pusat tahfiz.

Jelas Nuraina, pesanan arwah bapanya itu yang sering mengingatkan agar menjaga dan menguruskan pusat tahfiz miliknya rupa-rupanya bukan satu gurauan. Tambahnya, dia mengetahui kewujudan pusat tahfiz itu selepas menghubungi nombor telefon yang ditinggal kepadanya. Kata Nuraina, dia akan menguruskan permintaan arwah itu selepas urusan pengebumian ini selesai.

Dalam pada itu, Nuraina turut berasa terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan bapanya untuk memberitahu tentang kehamilan anak keduanya. Tambah Nuraina, dia merancang untuk keluar makan bersama keluarga dan bapanya pada Sabtu ini namun hasratnya itu tidak kesampaian.

Klik untuk gambar besar



"Pada 30 Januari ni sepatutnya dah plan nak ajak abah pergi keluar makan, tapi abah kata dia tak ada kerana ada hal. Tak sangka pula dia betul-betul dah tiada sekarang. Saya pun tak sempat nak beritahu abah yang saya mengandung anak kedua, tak sempat nak beritahu apa-apa," ujarnya.

Sementara itu, adik arwah Pian iaitu Hasenah, berkongsi keadaan abangnya yang pergi dalam keadaan bersih dan menghadap kiblat ketika ditemukan terbaring dalam keadaan kaku di bilik air di kediaman ibunya di Flat Sentul Murni, Kuala Lumpur.

Hasenah bersyukur apabila arwah tidak mengalami kecederaan akibat serangan jantung secara tiba-tiba di dalam bilik air sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8 malam, Rabu, pada usia 52 tahun.



"Kedudukan dia cantik, dia duduk (terbaring) menghadap kiblat dalam keadaan tangan dia dan siap macam ni (qiam), kaki dia dah julur. Saya tak terkilan... tak la terhantuk ke apa ke. Dia pergi dalam keadaan bersih sangat," jelasnya.

Hasenah ditemui di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda, Kuala Lumpur pada majlis pengebumian arwah abangnya pada pagi Khamis.

Dalam pada itu Hasenah berkata arwah abangnya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang mencurigakan melainkan dia begitu bersemangat untuk menyambut hari ulang tahun kelahiran ibu mereka yang ke-74 pada 18 Januari lalu.

"Arwah beria nak buat majlis hari ulang tahun kelahiran mak. Sebelum ni tak pernah sambut pun, ni la pertama kali kami buat. Dia nak sangat adik-beradik, anak, cucu semua berkumpul masa tu. Tapi pada hari sambutan tu keriangan dia dak tiada. Dia hanya diam... ajak bergambar pun dah tak ceria. Dia hanya nampak cool, dah tak nampak lawak dia," tuturnya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: