03 January 2022

"KAMI AKAN BERI RESTU KEPADA MEREKA, TIDAK PERNAH ADA NIAT BOLOT NAMA SEARCH" - DIN, KID



Nampaknya bagaikan tiada penghujung isu pergeseran ahli kumpulan Search antara bekas vokalis, Amy dan pemain bass, Nasir Daud serta gitaris, Din dan Kid. Kini, kumpulan legenda itu diumpamakan 'kapal berpecah dua'.

Mengulas pendapat peminat Search yang kini terbahagi dua, Din berkata, mereka bersyukur masih mendapat sokongan padu peminat, namun tidak menafikan ada juga yang mengecam.

"Kami tidak berani komen mengenai persepsi peminat. Tidak dinafikan, ada menyokong dan sebaliknya, namun rata-rata memihak kepada kami. Kami juga malu dan ada keluarga, tetapi tidak boleh mengelak," tuturnya.

Jika Amy dan Nasir bersama barisan baharu yang menampilkan anggota asal Search sejak 1981 iaitu Hillary Ang (gitar) dan Man Kidal (gitar), manakala Din dan Kid pula bersiap sedia dengan vokalis baharu yang juga penyanyi dari Indonesia, Denden Gonjales.

Klik untuk gambar besar



Selain itu, Din dan Kid memilih pemain bass, Yan yang pernah menganggotai Search ketika album pertama, Cinta Buatan Malaysia pada 1985. Terus dikekalkan Pae sebagai pemain dram yang sering menggantikan Allahyarham Yazit Ahmad ketika mengalami masalah kesihatan, beberapa tahun lalu.

Kini, isu siapakah berhak menggunakan nama Search mencetuskan kekeliruan. Mengulas tindakan Amy yang masih menggunakan nama Search bersama barisan baharu, Kid berkata, dia dan Din tidak mempunyai masalah dengan keputusan Amy dan Nasir.

Dua beradik itu sebaliknya akan memberikan restu. Malah, kata Kid, mereka tidak terfikir membawa persengketaan sehingga ke muka pengadilan kerana niat mereka bukan mahu berbalah.

"Kami akan memberikan restu kepada mereka, tidak pernah ada niat membolot nama Search. Namun, jika ditanya siapa lebih layak memiliki Search, saya ingin bertanya, siapa mengundurkan diri terlebih dahulu? Saya rasa itu sudah cukup menjawab segala persoalan.


"Amy sudah umum keluar Search, adakah masih sesuai menggunakan nama Search? Jika anggap pengasas Search lebih layak menggunakan nama Search, saya juga ingin bertanya sekali lagi, siapa lebih layak?

"Pengasas mungkin main satu, dua atau tiga album, tetapi saya main lapan album. Siapa lebih layak? Secara logiknya, inilah jawapannya," kata Kid.

Din berkata, kemelut Search sudah lama timbul, namun bertambah runcing selepas Amy membuat keputusan meninggalkan band itu pada Mac tahun lalu. Enggan nasib tiga anggota yang masih ada terumbang-ambing, Din dan Kid tidak duduk diam, sebaliknya berusaha mencari jalan agar masih bertahan dan memiliki pendapatan.

"Niat saya bukan membolot nama Search, sebaliknya mahu mentadbir dengan baik. Pengurusan sebelum ini tidak bagus. Seperti dikatakan, apabila Amy berundur, kami bertiga terumbang-ambing. Takkan duduk diam sahaja, sebaliknya kami perlu mencari sesuatu untuk menjana pendapatan. Kami berhak menggunakan nama Search untuk meneruskan hidup kerana tidak pernah meninggalkan Search," ujar Din.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: