"Saya tak kisah pun sebab saya sudah berikan yang terbaik pada hari ini, sekadar termampu. Saya pun tak sedih tersingkir sebab saya tahu keupayaan saya setakat mana. Saya berpegang pada prinsip saya dan mungkin saya tak sesuai nyanyi dengan ton (suara) yang bukan-bukan. Tapi tak bermakna saya tak boleh buat, cuma saya dah lama tinggal.
"Juri punyai pendapat dan saya menyokong, bersetuju sebulat suara. Lagipun saya menganggap Tok Ram (Ramli MS) sebagai kilang ilmu. Saya bersetuju dengan keputusannya dan dia yang mengajar saya untuk menjadi lebih bagus.
"Kalau duduk dengan dia, saya dah anggap seperti bapa saya sendiri," itulah ujar penyanyi Bandi Amuk apabila menjadi bintang keempat tersingkir pada konsert ketujuh Gegar Vaganza 8 (GV8) yang berlangsung Ahad.
Kata Bandi atau nama sebenarnya Nasabandi Jumat, hasratnya untuk membuka topeng sekiranya berada di pentas final tidak kesampaian. Bagaimanapun, Bandi berlapang dada dan menerima penyingkirannya secara optimis.
"Saya tak umpan apa-apa, saya memang ada pasang niat kalau berada di top 3 sebagai hadiah kepada peminat yang sudah lama menyokong saya. Tapi Allah tak izinkan. Mungkin sampai tahap ini, jadi niat (buka topeng) itu terkubur. GV sebuah program besar dan kalau nak buat sesuatu biarlah semua orang tahu siapa saya.
Klik untuk gambar besar
"Tapi selepas menyatakan hasrat untuk membuka topeng, ramai yang marah dan minta jangan buka. Buat apa nak gadaikan aset saya, ini trademark saya sejak sekian lama. Jadi saya pun terfikir balik," jelasnya.
Tegas Bandi yang mendapat markah tercorot iaitu 53.8% selepas kumpulan duo Sa.Ya yang mengutip markah 54% itu lagi, prinsip perjuangan dalam dunia rock bersama Amuk sudah sebati dan menjadi sebahagian daripada hidupnya, maka sukar untuk dia menukar hala tuju muzik dan minatnya.
"Apa yang saya perjuangkan bersama Amuk dari dulu sampai sekarang terlalu besar. Nak saya menyanyi dengan stail berbeza rasanya sedikit sulit.
"Saya tak belajar dari mana-mana dan saya berpegang dengan apa yang saya buat. Bersama Amuk, saya bangga! Walau tujuh minggu dalam GV8, sejarah bersama Amuk saya takkan korbankan," tegasnya yang bakal meneruskan program yang tertangguh bersama Amuk sejak menyertai GV8.
________________________
No comments:
Post a Comment