Pada awal November lalu, penyanyi dan juga pelakon Lufya Omar, 36, memaklumkan bahawa dia telah melakukan pembedahan pembedahan bariatrik atau potong usus, selepas usahanya melakukan cara semula jadi termasuk diet dan bersenam tidak menjadi.
Namun, Lufya menafikan prosedur itu bertujuan untuk kelihatan cantik atau memikat lelaki. Sebaliknya, kata Lufya, dia menjalani pembedahan tersebut adalah kerana ingin mengawal tahap kolesterol dan penyakit asma dialami serta lebih positif dalam menghadapi hari-hari mendatang.
Dalam masa sama, Lufya akui, soal jodoh bukan keutamaannya selepas lebih setahun berpisah dengan bekas suami dan hidup sebagai ibu tunggal dan membesarkan anak tunggal, Laana Haura berusia lima tahun. Tapi saat ini, Lufya atau nama sebenarnya, Lutfyah Sheikh Omar berkata, dia lebih terbuka soal jodoh.
"Apabila sudah sihat dan dapat menurunkan berat badan dengan cara pembedahan, saya lebih positif. Dahulu, mungkin trauma sebab pengalaman perkahwinan lalu, namun, sekarang semuanya sudah berlalu, tiada apa yang perlu dikenang lagi. Lebih utama, pembedahan ini berjaya mengawal tahap kolesterol dan penyakit asma. Saya kurus bukan sebab nak cantik, tetapi demi kesihatan.
"Selepas sebulan, pembedahan ini berjaya menurunkan sebelas kilogram (kg). Daripada 85 kg, kini, berat saya 74 kg. Dahulu, diet dan bersenam selama enam bulan hanya turun 2 kg sahaja. Kini, saya mahu turun berat badan 10 kg untuk capai berat badan seimbang," ujarnya.
Kata bintang drama 'Mahar Tanpa Cinta' itu, dia tidak sedar berat badan naik mendadak ketika pandemik COVID-19. Bahkan, rutin menikmati snek termasuk kek diusahakan tanpa rasa bersalah.
"Saya dilahirkan memiliki raut wajah kecil, biarpun berat badan bertambah. Sebab itulah, saya hanya swafoto sebab hanya tayang muka. Paling kemuncak, ibu tegur badan saya berisi.
"Malah, Laana pun pernah cakap, kalau 'mummy' kurus mesti cantik macam patung Barbie. Masa itu saya tersentak, besar sangat ke badan saya? Kerana berat bertambah, kaki saya mudah kebas sampai susah nak berjalan," tuturnya.
Dalam pada itu, Lufya enggan memberi komen mengenai bekas suami: "Saya gembira dengan kehidupan sekarang dan membesarkan Laana. Kalau cerita soal bekas suami, saya akan ulas perkara betul, jadi, cukuplah saya tak mahu komen. Anak semakin membesar dan mula tunjuk minat ke arah dunia seni apabila suka menyanyi dan bergaya," katanya.
________________________
No comments:
Post a Comment