12 January 2022

KERACUNAN MAKANAN - RUHAINIES MINTA KELUAR HOSPITAL, MAHU SAMBUNG KERJA



"Hanya tuhan tahu apa saya rasa sekarang ini... saya alami keracunan makanan minggu lalu sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital sehari. Doktor minta saya berehat di hospital lebih lama tapi saya tolak kerana perlu menyelesaikan tugas penggambaran... orang macam kami ni cuti sakit tak ada nilai tau.


"Alhamdulillah, hari ini (Rabu) baru rasa betul-betul pulih daripada muntah-muntah dan sakit perut, tak ingat dah bila kali terakhir saya keracunan makanan seteruk ini," itulah kata pelakon Ruhainies yang terpaksa dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur baru-baru ini, gara-gara mengalami keracunan makanan.

Menurut Ruhainies, 29, dia mendapatkan rawatan kecemasan selepas mengalami sakit perut dan muntah-muntah teruk. Sebelum itu, pelakon drama 'Cukup Derita Itu' ini berkongsi mengenai keadaan kesihatannya menerusi laman Instagram pada pagi Rabu.

Ruhainies berkata, dia tetap meneruskan kerja seperti biasa, meskipun keadaan tubuh masih belum pulih sepenuhnya. Ini kerana dia enggan menyusahkan pihak lain jika mengambil cuti sakit.

Klik untuk gambar besar

"Sehari selepas keluar hospital saya terus bekerja macam biasa, memang rasa tersiksa kerana badan belum okay... saya terpaksa ambil ubat untuk tahan sakit. Tapi saya tetap teruskan kerja dan gagahkan diri kerana tak mahu menyusahkan orang lain.

"Bayangkan dua hari menahan sakit, telefon pun saya tak boleh nak pegang, saya cuma mampu selesaikan kerja dan berehat. Terima kasih kepada produksi drama kerana sangat memahami, mereka bagi saya call time (waktu kerja) lewat untuk hari berikutnya.

"Alhamdullilah sekarang ini keadaan saya semakin baik. Pesanan saya, jaga diri dan kesihatan ya. Tak kisahlah berapa kuat anda bekerja, berapa banyak duit anda dapat, kesihatan tetap nombor satu," ujarnya.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: