08 January 2022

"PERTEMUAN DENGAN SUAMI ADA HIKMAHNYA... MUNGKIN ALLAH MAHU SAYA BERUBAH" - ASHIRA



"Saya tak tahu nak jelaskan bagaimana, tapi saya hanya menjadi diri saya sendiri. Pertemuan saya dengan suami, Bad Indigo ada hikmahnya. Sebab itu Allah jodohkan kami.

"Walaupun kami tak kenal lama, tapi mesti ada sebabnya dan mungkin Allah mahu saya berubah ke arah yang lebih baik," ujar penyanyi Ashira Aziz yang meluahkan rasa syukur kerana suaminya, penyanyi Bad Indigo menjadi antara penyebab dia berubah.

Bagi Ashira keputusannya untuk bertudung sekitar Ogos tahun lalu juga adalah perubahan yang berlaku bukan sebab dipaksa suami, namun atas pilihannya sendiri.

Berkongsi mengenai penghijrahannya, Ashira yang popular dengan lagu 'Di Ombak Resah' itu mengakui banyak perubahan yang dirasakan dalam kehidupannya.

"Mungkin saya tak bertudung lagi kalau bukan berjodoh dengan dia. Saya mula membuka hati saya sendiri. Dia tak pernah suruh atau paksa pun. Saya beritahu suami, kalau suatu hari nanti saya akan berubah, biar saya berubah kerana hati saya sendiri," katanya.

Klik untuk gambar besar



Menurut Ashira atau nama sebenarnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, perubahan ini juga sedikit sebanyak membawa ketenangan dalam kehidupannya yang diuji dengan pelbagai dugaan.

"Ada ketikanya, bila saya rasa tertekan atau 'down', saya akan minta doa dengan Allah. Memang rasa tenang. Apa juga ujian yang datang, saya menangis dan mengadu kepada Allah.

"Saya adalah orang yang susah untuk luahkan atau kongsikan masalah dengan orang lain. Jadi, semuanya saya kongsikan dan luah kepada Allah. Kalau dulu, saya akui ada masanya saya leka. Sekarang, saya reda dengan segala ujian-Nya," tuturnya.

Berkongsi mengenai perkembangan terbaharunya, Ashira bakal muncul dengan single baharu tidak lama lagi: "Saya ada dihubungi oleh komposer yang pernah menaikkan nama saya iaitu Eddie Hamid. Katanya, dia nak hasilkan satu single untuk saya. Jadi, sekarang saya menantikan demo daripadanya dan Insya-Allah, tak lama lagi proses rakaman untuk single ini bermula," katanya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: