09 January 2022

REDA DUJI PELBAGAI DUGAAN - EBBY YUS BERTERIMA KASIH ATAS SOKONGAN YANG DIBERI



"Kalau tanya saya mengenai rasa sedih dengan apa yang sudah berlaku ini, saya tak nafikan perasaan berkenaan (sedih). Sedikit sebanyak memang ada terasa, tetapi perancangan Allah itu siapa yang tahu.

"Sebelum nak dapatkan nikmat lebih baik, Allah duga kita dulu dan saya reda dengan ujian ini kerana yakin perancangan sudah diatur Yang Maha Esa sangat baik. Cuma, kita kena sabar dan bertenang.

"Jadi, kalau saya nak elak media bertanya pun tak boleh juga kerana kejadian sudah berlaku dan keadaan tetap sama. Lainlah kalau saya mengelak daripada ditemu bual, rumah yang musnah itu muncul semula," ujar pelakon dan pelawak, Ebby Yus, yang cekal berhadapan ujian, di sebalik sikap tenang dan jenaka yang dipersembahkan untuk hiburan masyarakat.

Bukan hanya diduga kesabarannya dengan beberapa penyakit dihidapi selama ini, tetapi pada 18 Disember lalu, Ebby berusia 56 tahun ini berdepan dugaan apabila rumah impiannya yang masih dalam pembinaan musnah dibadai banjir di Hulu Langat, Selangor.

Klik untuk gambar besar



Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, kehidupan tetap perlu diteruskan dan sekarang dia masih boleh bersyukur kerana tawaran kerja masih ada.

Berbicara juga mengenai tahap kesihatan dirinya yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini, Ebby berkata, ketika itu keadaan jantungnya membengkak, paru-paru penuh air dan ada masalah pada buah pinggang.

"Syukur Alhamdulillah, selepas menerima rawatan di hospital beberapa hari saya kembali sihat dan dibenarkan pulang ke rumah. Malah, doktor nasihat kena banyakkan berehat dan jaga pemakanan buat masa ini.

"Bagaimanapun, doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu sudah menyediakan janji temu untuk saya jalani pemeriksaan berkala pada tarikh ditetapkan dan hujung bulan ini kena jumpa doktor semula.


"Ada ujian pemeriksaan jantung dan buah pinggang akan saya lakukan nanti. Semoga semuanya baik-baik saja dan saya mohon doa daripada ramai. Bagi saya, doa dihulur itu sangat penting," katanya.

Dalam pada itu, Ebby juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin terhadap keadaan dirinya. Katanya, Allah saja dapat membalas kebaikan itu dan dia tidak sangka kejadian menimpanya begitu dapat perhatian.

Ebby yang berasal dari Negeri Sembilan ini berkata, dia juga gembira mendapat sokongan padu dan semangat daripada seluruh ahli keluarganya selain rakan artis yang sedia membantu.

"Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada semua. Rakyat Malaysia ini tak kira kaum dan berbeza agama pun sanggup turun padang menghulur pelbagai bantuan berupa barangan keperluan harian serta wang kepada mangsa banjir terkesan," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: