02 January 2022

SELAGI HAYAT DIKANDUNG BADAN - FAZLEY TETAP TERUS MENYANYI, MESKIPUN DIKRITIK



Penyanyi yang bergelar selebriti chef, Datuk Fazley Yaakob nampaknya tidak akan putus asa untuk berjuang dalam bidang nyanyian, sungguhpun penyertaannya dalam program realiti, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) tak ubah seperti mengundang padah apabila dikecam teruk.

Komen berbaur negatif dilemparkan dalam media sosial termasuk menyentuh perkara bersifat peribadi tidak pernah menggugat semangatnya, apatah lagi, bidang nyanyian sudah diterokai sejak zaman muda lagi.

Anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini pernah memiliki empat album, Kau Milikku yang dirakamkan pada 1995, diikuti Impian Yang Nyata (1996), Asmara Ini (2001) dan Cerita Asmara (2003). Malah, lagu Asmara Ini dan Cerita Asmara pernah melonjakkan namanya sebagai penyanyi, sebelum menerokai bidang masakan.

Mengulas adakah pernah 'sentap' apabila menerima kecaman dalam media sosial, Fazley berkata, dia pernah melalui situasi lebih buruk dan dahsyat daripada ini. Meskipun begitu, tambah Fazley, dia akan terus menyanyi, selagi hayat dikandung badan.

Klik untuk gambar besar



"Sebelum ini, saya rasa masyarakat sudah sedia maklum dengan isu yang membabitkan saya. Rasanya ia lebih teruk dengan apa yang diterima ketika menyertai GV8.

"Jadi, saya tak pernah simpan dalam hati jika setakat kecaman dalam media sosial. Saya sempat membalas komen netizen yang mendoakan saya tersingkir sebelum membuat persembahan pada minggu ketiga tersingkir.

"Jujurnya, saya bersikap positif kerana sedar kemampuan saya. Lagipun, tiada satu trofi kemenangan yang pernah diperoleh sepanjang lebih sedekad bergelar anak seni.


"Saya juga merancang untuk merakamkan single baharu dan mengadakan showcase. Insya-Allah, saya akan menganjurkan showcase di restoran saya, Suka Sucre Bistro di Hartamas.

"Nama showcase pun sudah ada iaitu Yang Sedang-Sedang Saja sempena nama lagu dibawakan dalam program GV8. Bagaimanapun, semuanya masih dalam perancangan. Maklumat lanjut mengenai persembahan istimewa ini akan diumumkan, tidak lama lagi," katanya.

Ditanya soal penerimaan keluarga melihatnya menjadi bahan perdebatan dalam media sosial, Fazley memberitahu, ibu dan isteri sangat memahami, begitu juga anak-anak.

"Sekurang-kurangnya, misi saya untuk memberitahu anak-anak yang ayahnya seorang penyanyi berhasil. Saban minggu, saya sering memberitahu akan tersingkir, jadi mereka sudah bersedia," ujarnya yang menyertai program GV8 demi anak bongsu, Alayna Selma, 4, yang tidak pernah mengetahuinya seorang penyanyi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: