02 January 2022

HIBURAN DILABEL MELALAIKAN - SAIFUL APEK LIHAT SUDUT POSITIF, DALAM BERHIBUR ADA AMAL



"Kami juga turun padang. Pada saya tak semua benda ini untuk dihebohkan kerana ada yang sukakan konsep beramal adalah rahsia. Saya selalu berpegang kepada satu prinsip iaitu 'ignore the laugh minority'. Jika saya rasa betul, saya akan buat. Selagi saya tak melanggar undang-undang dan selagi ada rujukan daripada mereka yang lebih sahih dan mutlak pengetahuannya, selagi itu saya buat.

"Pada saya setiap pengorbanan ada harga. Ini bukan sesuatu untuk dirungutkan," kata pelakon dan pelawak, Saiful Apek yang berpendapat apabila berlaku tragedi dan musibah, boleh dikatakan artis juga berperanan sebagai petugas barisan hadapan yang membuat kerja kebajikan untuk membantu.

Setiap kali berlaku bencana di dalam negara seperti C0V1D dan banjir, penggiat seni sering menjadi tumpuan dan sasaran warganet. Mereka disuruh berehat daripada melakukan sebarang aktiviti persembahan atas alasan menghormati mangsa.

Klik untuk gambar besar



Ujar Saiful Apek, perkara ini perlu dilihat secara terbuka dan positif oleh peminat. Mereka tidak boleh menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya kepada golongan artis.

"Medium kami walaupun dalam industri hiburan, saya pun bersama turut serta dalam forum yang disertai ramai barisan ustaz bertanyakan pendapat mereka. Mungkin warganet selalu melabelkan hiburan ini melalaikan. Namun, apabila saya melihat daripada sudut positif, saranan serta nasihat daripada mereka yang lebih diiktiraf dan bertauliah ini, saya dapat rumusannya.

"Saya tahu bila saya rasa buat sesuatu itu adalah betul, maksudnya ia memanfaatkan. Contohnya baru-baru ini konsert Gegar Vaganza 8 diteruskan juga apabila setiap peserta salurkan RM10,000 untuk kebajikan. Ini ialah situasi menang-menang," katanya yang turut bertanding bersama Yassin menerusi kumpulan SaYa.

Menurut Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff, jika dilihat, kumpulan Senario sendiri pun teruk dikecam apabila menghiburkan peminat dengan membuat mereka ketawa.

"Gelak ketawa berlebihan orang kata haram dan melalaikan, tapi bila melihat sudut positif, banyak perkara menarik yang berlaku sejak 27 tahun lalu. Saya ingat lagi seluruh keluarga berkumpul depan TV untuk layan Senario sambil bergembira bergelak ketawa ketika zaman media sosial belum ada.

"Keseronokannya masih lagi dirasakan sehingga sekarang. Program ini dah tiada lagi sekarang. Kami ibarat jambatan menghubungkan mereka yang tersayang," jelasnya yang kembali membintangi filem Senario berjudul 'Jaga-Jaga Senariounion' arahan Aziz M Osman.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: