02 January 2022

SELAMAT NIKAH - SHARUL KAMAL PILIH PR RUSA MUSIC SEBAGAI ISTERI



Penyanyi yang juga bekas peserta Akademi Fantasia (AF) 2015 ini, Sharul Kamal telah pun selamat bernikah secara senyap dengan wanita pilihannya, Raihan Amilin atau mesra disapa sebagai Amy pada petang, Sabtu iaitu 1 Januari 2022, dengan sekali lafaz.

Difahamkan, majlis pernikahan pasangan ini dilangsungkan di Masjid Kota Raja, Klang, Selangor, kira-kira jam jam 3.30 petang, sebelum mengadakan majlis resepsi di Klang, sebelah malam. Pasangan itu dinikahkan oleh bapa kandung pengantin perempuan, Mohd Roszaimi dengan bersaksikan jurunikah serta dua orang saksi.

Sharul atau nama sebenarnya, Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman menyerahkan mas kahwin sebanyak RM1122 sebagai simbolik tarikh 1 Januari 2022 dan membalas dulang hantaran dengan jumlah sama iaitu 11. Bagaimanapun wang hantaran dirahsiakan.

"Ia bermula majlis merisik pada 27 April, tahun lalu. Seterusnya, kami bertunang pada 3 Disember lalu dan memilih 1 Januari sebagai hari bersejarah. Sebenarnya kami tak suka pun nak heboh-heboh. Sebab itu waktu merisik dan bertunang itu tak ada orang tahu.

Klik untuk gambar besar



"Mula-mula ingat tak nak heboh pun, tapi fikir soal kahwin ini lebih baik kita beritahu. Alhamdulillah, akad nikah berjalan dengan lancar. Sejujurnya memang berasa gemuruh juga sebelum nak nikah tapi syukur semuanya sudah selamat dan saya sah menjadi suami.

"Asalnya, kami mahu mengadakan majlis secara kecil-kecilan sahaja. Saya pun tidak berharta, tetapi keluarga isteri mahu mengadakan majlis resepsi. Lokasi majlis nikah dan resepsi memang diadakan di Klang kerana keluarga isteri tinggal di sana," katanya.

Berkongsi mengenai detik perkenalan, Sharul berkata dia sudah lama memendam perasaan terhadap isterinya yang bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam di syarikat rakaman Rusa Music Sdh Bhd. Namun akhirnya, Sharul beranikan diri menghubungi Raihan Amilin selepas bertemu di program Immortal Song pada Oktober 2020.


"Saya tak pasti bila kami mula bercinta tapi kami dah kenal sejak 2012 di sebuah acara hiburan. Tapi waktu itu, sekadar tegur saja. Ikutkan saya memang dah lama pendam perasaan suka pada dia. Lama juga saya perhatikan dia. Tapi tak berani nak luahkan perasaan. Tapi saya beranikan diri untuk ajak dia keluar, selepas bertemu dengan dia di program Immortal Song. Ketika itu, dia bawa Floor 88," kongsi Sharul.

Penyanyi di bawah pengurusan, Rhythm and Rhyme Entertainment (RNR) milik Akim Ahmad dan Stacy ini memberitahu dia tidak terlintas membawa hubungan lebih serius, namun merasakan Raihan sangat istimewa dan mampu menambat hatinya tanpa tergesa-gesa. Kata Sharul lagi, dia jatuh hati dengan sikap teratur dimiliki isterinya.

"Saya berkesempatan menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah dan kembali ke tanah air sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada tahun lalu. Doa saya barangkali dimakbulkan kerana saya minta jika dia (Raihan) jodoh, maka permudahkanlah.

"Lagipun, isteri bekerja dalam bidang sama yang membabitkan artis, jadi amat memahami. Kami belum merancang mahu berbulan madu. Setakat ini, bulan madu kami di rumah kerana sibuk berpindah ke Puchong. Jadi, kami sibuk mengemas rumah," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: