19 January 2022

TERKANDAS DI SEPARUH AKHIR GV8 - SHIDEE BERSYUKUR TERIMA LAGU DARI HAQIEM RUSLI



Meskipun terkandas di separuh akhir Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), ia tidak membuatkan penyanyi Shidee atau nama sebenarnya Rashid Abdul Wahab, berputus asa untuk terus berjuang dalam bidang seni.

Selepas menyertai program terbitan Astro itu, Shidee akui perkembangan kariernya kini kembali 'meriah'. Katanya jika sebelum ini dirinya hanya menerima undangan nyanyian pada setiap Jumaat sehingga Ahad, kini jadual seninya boleh dikatakan sibuk setiap hari.

Jelas Shidee, tawaran menyanyi datang tidak putus-putus sepanjang dirinya sibuk bertanding dalam GV. Shidee menyifatkan segala tawaran dan perhatian yang yang diperoleh kini sebagai rezeki anak.

"Saya pun pening nak susun. Bagaimanapun saya anggap ini semua rezeki anak. Sewaktu menyertai GV saya tak duga dan tak nampak benda macam ini (rezeki), saya bertuah kerana melalui platform ini saya kembali semula," katanya.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Shidee turut mendedahkan ada menerima karya dari penyanyi dan komposer muda, Haqiem Rusli yang pernah menjadi rakan duetnya dalam salah satu segmen di GV, baru-baru ini. Menurut Shidee, lagu tersebut bagaimanapun belum siap sepenuhnya.

Namun sebagai seorang penyanyi beliau teruja jika Haqiem ingin memberikan lagu untuk didendangkan olehnya. Tambah penyanyi yang sudah melangkaui usia 60 tahun itu, biar sudah memegang status senior, tidak menjadi masalah atau kesalahan buatnya menerima idea atau bekerja dengan pendatang baharu.

"Sebenarnya saya bersyukur juga sebab anak muda seperti dia (Haqiem) nampak orang lama seperti saya. Saya boleh cuba (menyanyi), tak ada masalah," ujar Shidee lagi yang turut memberitahu ada menerima lagu dari Haqiem yang pernah menjadi rakan duetnya dalam salah satu segmen di GV.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: