24 January 2022

TIADA NIAT MENGHENTAM ATAU MERENDAHKAN - HETTY KOES ENDANG MOHON MAAF



"Maaf kalau ada yang tersinggung selama saya mengendalikan tugas sebagai juri di program GV. Kalau bukan kerana sayang, saya tak akan tinggalkan anak dan cucu tercinta saya, Arlo Astrodistira Arsanda di Indonesia. Saya buat semua ini semua demi Astro, GV, dan juga Malaysia.

"Pentas pertandingan ini adalah pentas yang memberikan banyak tentangan buat kita di barisan juri kerana peserta terdiri daripada pelbagai genre. Minggu pertama, saya tak kenal siapa Aliff, Suki, Aweera, Niki dan semua. Saya adil. Saya teliti dan dengar kelebihan dan kelemahan mereka pada minggu pertama. Mungkin dari situ lagi ramai yang tak senang dengan komen-komen saya. Tapi saya bukan cikgu, saya lebih kepada berkongsi pengalaman.

"Saya akan beritahu di mana yang bagus dan di mana salahnya setiap kali peserta buat persembahan. Sebagai peserta, sewajarnya mereka harus dengar apakah keinginan juri, bukan keinginan netizen kerana yang menilai adalah juri. Kena gali lagi, jangan cepat rasa puas hati dan rasa suara sendiri sudah begitu bagus. Dalam bidang seni suara ini, kalau boleh, setiap kali buat persembahan tak kisahlah di pentaskah, di festivallah, di acara dan majlis, sentiasa berikan yang terbaik.

Klik untuk gambar besar



"Saya harap, pemenang-pememang pada program GV ini juga akan ingat pesanan saya ini. Contoh macam Aliff, saya tahu dia lebih terbuka menerima teguran. Kalau dia masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri, mungkin dia pun tak jadi juara semalam. Dia buktikan dia mahu berjaya dan maju.

"Bagi saya, dia layak bergelar juara musim ini," demikian kata penyanyi bertaraf legenda, Hetty Koes Endang yang tampil memohon maaf andai ada pihak atau peserta yang tersinggung dengan komennya yang dianggap terlalu berbisa dan lantang di pentas Gegar Vaganza musim kelapan (GV8).



Kata Hetty yang mesra disapa sebagai Bunda, dia perlu berbuat demikian kerana tanggungjawab yang dibawanya bukan mudah dan ia dilakukan kerana rasa sayang yang mendalam pada program tersebut dan negara ini. Selain itu, kata Hetty, dia sedar dirinya bukanlah seorang guru dalam bidang muzik namun fokusnya adalah dalam memberikan perkongsian pengalamannya dalam bidang seni setelah 50 tahun mengabdikan diri.

Dalam pada itu, Hetty turut mengingatkan setiap peserta mahupun pemenang pertandingan GV8 agar sentiasa mencari identiti pada nyanyian masing-masing. Tidak berniat untuk menghentam atau merendahkan kebolehan masing-masing, tetapi kata Hetty, dia yakin dalam bidang seni suara, identiti adalah keutamaan dan kunci kepada kejayaan seseorang artis selain bakat.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: