04 February 2022

ADA PENERBIT GUGURKAN NAMANYA DARIPADA SENARAI PELAKON - AZHAN RANI REDA



Berikutan kecederaan dialami selepas terbabit kemalangan motosikal, bulan lalu, pelakon Azhan Rani, 45, reda ada penerbit menggugurkan namanya daripada senarai pelakon selain watak diubah kepada aksi 'cameo' atau penampilan khas.

Azhan yang cedera bahu dan tulang rusuk akibat kemalangan itu berkata, penerbit terpaksa menawarkan watak kepada pelakon lain bagi memastikan kelancaran kerja penggambaran.

"Jika hendak diikutkan, jadual lakonan penuh hingga Jun. Namun, disebabkan kecederaan dialami, ada penerbit terpaksa cari pelakon lain menggantikan saya. Setakat ini, kerja penggambaran yang sudah mendapat pengesahan adalah drama Kampung Latah Kena Kuarantin yang diterbitkan syarikat produksi milik pelakon Nazia Mustafar. Kami akan memulakan penggambaran pada 15 Februari depan.

"Drama itu sepatutnya sudah lama 'shooting', namun, disebabkan Pelan Pemulihan Negara (PPN), kerja tertangguh. Sejujurnya, saya reda dengan apa yang berlaku (terhadap projek lain yang tidak dapat dijayakan). Allah tarik nikmat rezeki tetapi Dia beri saya peluang untuk hidup. Jadi, saya tidak boleh mengeluh," ujarny yang dipetik sebagai berkata kepada Berita Harian.

Klik untuk gambr besar



Azhan berkata, biarpun dinasihatkan doktor agar berehat enam bulan akibat kecederaan dialami, dia terpaksa bekerja berikutan pelbagai komitmen yang perlu dilunaskan. Sehubungan itu, sejak dua hari lalu, Azhan sudah kembali ke lokasi penggambaran.

"Doktor nasihatkan saya berehat enam bulan untuk memastikan kecederaan pulih. Tetapi saya tidak dapat berbuat demikian kerana ada komitmen bulanan yang harus dilunaskan. Sebelum ini, akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN), pendapatan saya terjejas. Takkanlah saya hendak duduk berpeluk tubuh lagi... Mereka yang kerja sendiri faham keadaan saya.

"Namun, watak yang diberi ringan. Contohnya, dalam salah sebuah drama yang dijayakan, saya sepatutnya bawa watak utama. Namun, disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, saya diberi watak 'cameo' dan hanya muncul pada awal cerita sahaja.



"Bukan semua projek menggugurkan saya. Ada juga syarikat produksi yang belum memberi maklum balas. Saya perlu telus kerana tidak mampu melunaskan tanggungjawab sebaiknya," jelas Azhan yang berharap produser drama tidak takut menawarkan dirinya peluang berlakon biarpun belum pulih sepenuhnya, ini kerana dia boleh berlakon selagi watak ringan tanpa membabitkan adegan aksi.

Sementara itu, pelakon yang terkenal dengan watak Ustaz Hamadi dalam drama rantaian 'Nur' itu berkata, dia perlu berulang alik ke hospital dua kali seminggu untuk menjalani sesi fisioterapi selain senaman di rumah.

"Saya masih dalam proses untuk pulih. Bahu saya cedera selain tulang rusuk keempat, kelima dan keenam retak. Saya tidak boleh bersin atau batuk terlalu kuat. Pergerakan juga perlahan. Namun, doktor beritahu proses pemulihan saya menunjukkan tanda positif.

"Doktor beritahu tulang rusuk boleh baik dengan sendiri, tidak perlu pembedahan dan sebagainya. Cuma saya terpaksa menanggung sakit sementara sembuh," katanya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: