04 February 2022

DUA TAHUN 'DERITA' - AYAI BERSYUKUR ADA INSAN PRIHATIN KUMPUL SUMBANGAN BANTUNYA



"Biasalah, pada usia begini, ada turun naik. Kejap sihat dan sebaliknya. Namun, usus yang sebelum ini membengkak mula pulih. Buah pinggang pula masih dirawat, namun dalam keadaan terkawal. Selain itu, saya menghidap gout dan tahap asid urik agak tinggi. Saya kena berpantang kalau bercakap soal sakit ini.

"Jadi, saya perlu elak kacang, daging dan makanan laut. Ubat hospital pun tidak boleh 'miss' tetap kena ambil," kongsi bekas vokalis kumpulan popular era 1980-an, Ilusi, iaitu Ayai mengenai perkembangan terbaru dirinya.

Terkesan dengan impak penularan C0V1D yang menjejaskan sumber rezeki sejak dua tahun lalu, Ayai melalui detik sukar apatah lagi pada waktu sama, kesihatan diri terjejas.

Bakal menginjak usia 60 tahun November depan, Ayai atau nama sebenar Zaharuddin Kamaruddin berdepan komplikasi penyakit usus dan buah pinggang sejak setahun lalu.

Klik untuk gambar besar



Biarpun berdepan dugaan kesihatan dan pendapatan yang terjejas akibat C0V1D, Ayai yang kini menetap di Johor Bahru bersama isteri, Siti Hajar Ali, bersyukur masih diberi nikmat menghirup udara dan kudrat.

Ayai yang menjuarai musim pertama program realiti, Gegar Vaganza (GV) pada 2014 berkata, dua anak perempuan mereka sudah mendirikan rumah tangga manakala anak lelaki bongsu masih meneruskan pengajian di sebuah institusi pendidikan.

"Kalau anak lelaki bongsu tidak terikat dengan komitmen di asrama, kami ditemaninya. Jika tidak, hanya saya dan isteri di rumah. Dua anak perempuan pula masing-masing sibuk dengan keluarga.



"Terus-terang, fasa itu memang 'sakit'. Kalau tidak, ada juga undangan membuat persembahan bagi menambah rezeki dan survival. Namun, insya-Allah rezeki itu ada. Baru-baru ini, saya dan isteri menjual laksa Johor resipi turun-temurun arwah emak. Ketika hayatnya, arwah menyajikan juadah itu kepada kerabat Diraja. Kali ini, saya memasaknya mengikut resipi arwah emak.

"Apa yang penting, laksa Johor kuahnya tidak cair dan enak dimakan dengan tangan. Rezeki menjual laksa ini, lepaslah untuk membayar komitmen rumah dan kereta," kata Ayai yang memulakan kerjayanya sebagai penyanyi selepas menyertai Bintang RTM 1986 dan menganggotai kumpulan Ilusi pada 1988.

Ayai bersyukur dihulurkan sumbangan teman artis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak terkesan dengan C0V1D: "Baru-baru ini, saya terkejut apabila mendapat tahu ada inisiatif mengutip sumbangan untuk saya dan Bob Lokman. Ada juga yang tiup semangat untuk saya terus kuat menempuh dugaan hidup ini," ujarnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: