02 February 2022

DIDAKWA DIBUANG KERJA KERANA TERBABIT DADAH - SHAHROL NAFI, BAKAL AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG



Baru-baru ini menerusi satu ciapan di akaun Twitter, pelawak dan pelakon Shahrol Shiro telah didakwa pernah ditamatkan kerja sebagai pegawai imigresen di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana terbabit dengan dadah.

Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi ketika dihubungi menafikan dakwaan tersebut dan dianggap sebagai keterlaluan kerana membabitkan reputasi nama baiknya dan juga jabatan kerajaan.

Di laman Instagram, Shahrol turut memuat naik tangkap layar ciapan dari pengguna Twitter menggunakan nama @kuhaslinda_a1 yang menulis ciapan berbaur fitnah itu. Selain mendakwa Shahrol terbabit dengan dadah, ciapan itu juga turut mendakwa Shahrol pernah 'digam' kerana masalah disiplin.

"Dadah adalah benda yang paling saya benci. Mengenai ciapan di Twitter itu, selepas melakukan perbincangan, saya membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan perkara sama tidak lagi berulang.

Klik untuk gambar besar



"Dari apa yang saya nampak, akan ada beberapa serangan lagi yang bakal berlaku rentetan daripada ciapan ini dan saya memang dah bersedia," jelasnya yng dipetik sebagai kepada Harian Metro.

Menurutnya, setiap individu terbuka untuk menegakkan fahaman politik masing-masing dengan cara yang betul. Ditanya mengenai penamatan perkhidmatannya sebagai pegawai imigresen, Shahrol berkata, dia berhenti mengikut prosedur yang sepatutnya dan bukan kerana terbabit dengan dadah.

"Saya tak kisah kalau ada individu yang ingin menegakkan fahaman politik masing-masing, namun, ini adalah serangan peribadi membabitkan nama baik saya dan juga agensi kerajaan. Mana ada istilah kalau kena tangkap, akan ada pihak yang cuba 'menutup' kesalahan itu. Sebagai penjawat awam, sekiranya seseorang itu ditangkap, rekod akan ada.



"Saya terus terang, sewaktu berkhidmat dulu, saya bersih daripada sebarang rekod buruk dan saya berhenti pun kerana mendapat tawaran dalam dunia seni. Selepas saya berhenti dan menjadi anak seni pun, saya masih dijemput oleh beberapa pihak contohnya Jabatan Penjara Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk memberikan perkongsian," katanya.

Semalam, Shahrol bersama sahabat-sahabatnya meraikan ulang tahun ke-15 pasukan yang bersama dengannya ketika di jabatan itu dan mereka juga tertanya-tanya apa yang berlaku.

"Kawan-kawan saya pun ketawa dan masing-masing tertanya-tanya, apa yang berlaku. Apa yang boleh saya katakan, tindakan individu itu menulis ciapan memang keterlaluan. Saya risau kalau ada tangan-tangan ghaib yang membayar individu ini untuk melakukan perkara sebegitu kerana ia sangat tidak betul," ujarnya.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: